Wednesday, November 10, 2010

rambutnya bak rambut Jamal Abdillah

Jamal Abdilah dan Ogy Ahmad Daud

   Hari persekolahan hampir sampai ke penghujungnya.Di sekolahku,bagi pelajar-pelajar ting 1 dan 2, Jumaat ini bersamaan 12 November 2010, adalah hari persekolahan terakhir bagi sesi 2010.Bermakna minggu ini akan dipenuhi dengan majlis jamuan perpisahan.Hari Jumaat ini juga 6 kelas rancangan khas ting 1, 2 dan 3 akan bergabung untuk mengadakan jamuan seperti tahun-tahun sudah.Tema pot luck menjadi pilihan kerana kesuntukan masa untuk menempah caterer.

   Situasi di sekolahku yang masih penuh dengan sesi pengisian ilmu meskipun cuti makin menghampiri,mengingatkan aku pada zaman persekolahan ku dulu.Memang telah menjadi budaya sekolahku dulu untuk mengkhaskan satu hari untuk jamuan.Maka bergilir-gilirlah kelas yang ingin mengadakan jamuan mengikut masa yang ditetapkan.Waktu itu juga,semua guru akan diundang untuk menghadiri jamuan disediakan dari satu kelas ke satu kelas.Waktu itu juga teman-temanku mengambil peluang untuk menunjukkan bakat terutama menyanyi dan menari.Akan diadakan juga permainan seperti rebut kerusi dan kotak beracun.

   Sewaktu aku di tingkatan 2, kelasku juga mengadakan jamuan.Waktu itu aku ditugaskan membawa kuaci hitam.Maka aku telah membeli 3 kilogram kuaci khas buat jamuan akhir tahun sekolahku.Waktu di tingkatan 2 itu , ketua kelasku seorang yang sangat pendiam.Pun demikian, dialah antara jejaka idaman para gadis kerana wajahnya yang tampan dengan rambut gaya Jamal Abdillah berbelah tengah.Dia jarang tersenyum apatah lagi bersuara maka tak pernah aku dan teman-temanku menyangka dia juga pemilik suara yang amat merdu menggoda.

   Waktu permainan kotak beracun dijalankan,teman-temanku sengaja mematikan muzik semasa giliran si ketua kelas memegang kotak.Maka hendak tak hendak, terpaksalah si ketua kelas melakukan sesuatu sebagai denda.Satu kelas yang riuh bersorak menjadi senyap dan sunyi dek terpaku dengan suaranya yang amat merdu.Tak kami sangka bukan setakat rambut seperti Jamal Abdillah malah suaranya pun saling tak tumpah suara Jamal Abdillah.Maka makin popularlah si ketua kelas meskipun dia masih pemalu dan selalu membisu.

   Sementara itu,untuk Jumaat ini, akan ku masak ketupat nasi dan ayam goreng sate air tanganku sendiri buat anak-anak didikku tersayang.Moga kenangan indah juga dapat dicipta seperti aku waktu dulu.

" Teacher!Jamuan nanti teacher nyanyi satu lagu boleh?"
"What?Karang lari semua lauk atas meja"
"Ala...teacher buat kelakar pulak.Saya tau, masa dinner kat hotel dulu, teacher nyanyikan?"
"Haaa...mana awak tau?"
(Anak didikku hanya tertawa terus mengusik)

Sementara itu aku terus terbayang ketua kelasku Abd Rahman Mardi dengan rambutnya yang saling tak tumpah Jamal Abdillah.Walau di mana dia berada, doaku semoga dia sentiasa bahagia.

0 comments:

Post a Comment