Thursday, September 22, 2011

Aku rindukan dia...

   Tiba-tiba teringat pada seseorang yang suatu ketika dulu pernah menjadi penghibur di kala aku berduka.Kami sama-sama menuntut di UKM dan menyewa rumah yang sama.Aku sangat kagum padanya kerana walau pun dia sakit, dia tetap tabah dan tak pernah gagal mencatat kejayaan dalam pelajaran.

   Semasa kami tinggal bersama, setiap hari ku lihat, dia menelan segenggam pil pelbagai rupa, warna dan saiz.Aku tak dapat bayangkan kiranya aku yang berada di kedudukan itu.Sebelum mengenalinya, aku tak tau pun apa itu SLE.Semasa awal sesi pengenalan diri, dia telah menjelaskan dengan panjang lebar pada kami, teman-teman sekuliahnya apa itu SLE atau Systemic Lupus Erythematosus.Sempat juga dengan berjenaka, dia memberitahu keadaan dirinya yang seolah-olah sedang mereput.Namun dia reda dan menganggap dirinya bertuah kerana terpilih antara berjuta manusia untuk merasai pengalaman menderita SLE.

  Tamat pengajian, kami membawa diri masing-masing.Hampir setahun kami tidak berhubung.Tiba-tiba, suatu hari aku dikejutkan dengan panggilan darinya.Lama juga kami berbual.Dia sempat memberitahu aku, dia baru menjalani pembedahan pemindahan kulit.Dia juga memberitahu aku betapa sakitnya tak tertanggung!Rupa-rupanya, itu adalah kali terakhir aku dapat mendengar suaranya kerana keesokan harinya aku dimaklumkan dia telah menemui penciptanya.Aku reda atas pemergiannya tapi entah kenapa tiba-tiba aku rindu sangat pada dia, temanku Norhanita Shuhaimie.Moga dirimu bahagia di alam sana.

   

2 comments:

Flower Detox Tea said...

salam takziah..moga beliau berada di kalangan orang beriman..

grOundnUt said...

Takziah..tak sangka dia pergi cepat sekali..

Post a Comment