Thursday, November 27, 2014

Jiranku tukang kejut dan lain-lain...

   Di kesempatan kali ini aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga buat jiranku di hadapan rumah yang sudi mengejut aku setiap pagi.Tanpa gagal jiran aku telah berjaya melaksanakan tugasnya untuk mempastikan aku dapat mencelikkan mata setiap jam 5 pagi.Tak perlu jeritan jam loceng.Tak perlu goncangan kuat di pintu.Apatah lagi laungan.... Bangun!Bangun!...umpama jam ayam ayah yang rajin sungguh membangunkan orang.

   Lalu bagaimana?Caranya mudah saja.Cukup sekadar memanaskan enjin bas pekerja dengan saiz besar untuk 44 orang.Vrooom!Vrooom!Vrooom!Dan dengan kuasa yang maha esa, aku pun tanpa gagal membangunkan diri.Jadi sempatlah aku menikmati suasana pagi nan indah dengan kicau merdu burung merindu, kokokan manja si ayam jantan dan sesekali jeritan cengkerik bertingkah.Ah!Alangkah ruginya mereka yang melewatkan saat sepi subuh yang indah dengan tidur kurang berfaedah.Syukur alhamdulillah....

   Terima kasih jiranku kerana setiap jam 5 pagi, aku akan terjaga apabila kau mula menjalankan tugas mencari sesuap nasi.Bas biru yang kau parking betul-betul di depan rumahku tak pernah buat aku rasa terganggu meskipun ada antara mereka yang tidak faham dan cuba menjadi batu memercikkan api.Tanah ini milik Allah dan kau ada hak untuk berbuat demikian.Jadi, usahlah kau bimbang wahai jiran.

    Sekali lagi aku ingin hembuskan rasa terima kasih buatmu kerana dengan ketepatan masa dan disiplin tinggi yang kau miliki, aku dapat memulakan tugas seawal pagi.Alhamdulillah...Aku doakan Allah akan beri ganjaran pahala buatmu kerana aku tahu kau memiliki sekeping hati bersih bak salji.Terima kasih kerana menjadi jiran yang baik sejak 1996.Mudah-mudahan ukhwah antara kita, si tukang kejut dan dikejut, akan berkekalan ke hujung nyawa.

   Apa pun terima kasih Allah kerana memberikan aku jiran-jiran yang sangat memahami.Terima kasih Cik Yan si tukang kejut, isterinya Cik No, Wak Su sekeluarga(Tahniah atas kejayaan Ummi anak wak dalam UPSR semalam), Zaidi sekeluarga (aku geram sangat dengan anak jiranku ini yang bernama Zulaikha.Comel dan petah bercakap),Siti,Ros dan keluarga yang banyak membantu aku, Cik Esah dan keluarga, Cik Aman dan keluarga serta mereka yang selorong.Maafkan aku kerana gagal menjadi jiran yang baik.Mudah-mudahan, Allah memberi ganjaran buat kalian kerana memahami keadaanku yang begini.Terima kasih....



Bunga untuk Cik Yan.

1 comments:

Unknown said...

hahaha..siapa bagi bunga..bagus jugak...kan?/tak payah pakai alarm..bangun awal pagi boleh siap semua benda dengan cepat tanpa gagal..eheheh

Post a Comment