Friday, March 7, 2014

Pengalaman jadi pontianak.

   Aku sangkakan, selepas pengalaman aneh yang aku alami pada 10 Februari lalu, maka akan tamatlah 'penderitaan' yang aku alami.Namun, sangkaanku meleset.Tarikh 26 Februari lalu, pengalaman yang aku alami adalah lebih dahsyat.Dengan kata lain, aku bertukar seperti pontianak.Aku skeptikal.Masih tak percaya.Mungkin tindak balas luar sedar aku yang 'tersiksa' maka aku mengilai seperti pontianak semasa aku tak sedar.Tapi, bila masa pulak aku fasih berbahasa Kelantan?Inilah misteri yang ingin aku ceritakan....

   Selepas sesi rawatan pada 10 Februari lalu, aku sihat hampir seminggu.Namun, selepas 2 kali aku terdengar seseorang memanggil namaku, aku mula 'mengalami' pengalaman yang aku sendiri tak tahu bagaimana untuk aku huraikan.Aku jadi seperti 'mayat hidup' kembali.Tidur seperti mati.Tetapi, pengalaman kali ini, sebelum aku 'tidur seperti mati', aku langsung tak tidur lebih 24 jam tanpa rasa mengantuk sedikit pun.Aku maish skeptikal.Mungkin kerana aku terlalu letih menyiapkan segala macam tugas yang telah aku abaikan semasa sakit.

   Oleh kerana keadaan aku yang seperti 'orang tak berapa siuman', ayah mengusahakan agar aku 'berubat' sekali lagi dengan ustaz yang sama.Sesi rawatan lebih kurang sama dengan siri yang pertama.Namun untuk sesi kali ini, aku terbaring tanpa sedar lebih kurang sejam setengah.Aku langsung 'tertidur' semasa aku meletakkan kepala di bantal untuk sesi rawatan.Kali ini pun 8 orang diperlukan untuk memegang aku.Kiri, kanan, kepala, kaki dan lutut.Secara logik, aku takkan mampu bergerak sedikit pun.

   Namun, semasa sesi rawatan, menurut kata ayah yang turut memegang, tenaga aku umpama tenaga 5 orang lelaki dewasa.Aku meronta dan cuba bangun.Jika sesi pertama, aku cuma memejamkan mata, namun untuk sesi ini, mataku terbuka.Bukan setakat terbuka tetapi terbeliak besar dengan mulut menyeringai dan berbunyi yang menakutkan.Konon katanya bukan 'satu' yang dihantar pada ku namun 'empat' sekali gus.Aku perasan, selepas seminggu sesi pertama rawatan, aku rasa seolah-olah ada seseorang yang 'mengetuk-ngetuk' kepalaku.Di bahu pun terasa ada seseorang yang amat berat bertenggek.Selain terasa seperti seseorang menumbuk-numbuk dadaku.Begitu juga di lutut.Seolah-olah ada seseorang yang memaku lututku bertalu-talu.Aneh namun ini adalah pengalamanku.

   Berbalik kepada sesi rawatan, selepas aku tak sedar, dengan mata terbeliak dan mulut menyeringai, aku mula berdialog dalam dialek Kelantan.Suamiku orang Terengganu dan fasih dialek Kelantan jadi dengan dialah 'aku' berdialog.Dalam masa sejam setengah aku tak sedar, macam-macam perkara yang membuatkan 'aku' tak puas hati diluahkan kepada suamiku.Kemuncaknya, semasa aku kononnya telah sedar ' aku' telah menampar suamiku dan berindak seolah-olah ingin mencekiknya.Sedangkan waktu itu aku langsung tak sedar!Aneh tapi itulah pengalamanku.

   Bukan setakat berdialog seperti orang Kelantan, tapi aku juga bertukar seperti 'pontianak' menyeringai dan bersedia untuk menggigit sekiranya berpeluang.Kesian suamiku kena tampar tapi aku manalah sedar?Begitu juga dengan anak saudaraku yang memegang tangan kananku,berbekas tangannya kerana cengkaman 'pontianakku'.Maaf jugalah kerana cik tak sedar langsungBukan setakat rupaku seperti pontianak, tapi aku juga mengilai seperti pontianak!Aku tengok sekali je video rakaman tu kerana aku tak sanggup tengok lama-lama.

   Selepas aku sedar, dengan kononnya 'pengganggu' aku seramai 4 orang / ekor  itu telah 'ditewaskan' oleh ustaz yang merawatku (Betul ke?Maaf kerana aku masih lagi skeptikal), aku rasa penat dan sakit seluruh badan yang amat sangat.Terasa lumpuh dari pinggang ke bawah.Aku dipapah ke bilik air untuk muntah.Hanya selepas setengah jam, barulah aku boleh merasa 'kaki' aku semula.Mungkin tenagaku habis kerana bergelut sebagai 'makhluk lain' semasa sesi rawatan.Alhamdulillah, selepas itu, aku rasa lebih sihat.Sakit di kepala, dada, lutut dan bahu pun hilang!

   Aku tak peduli siapa atau apa yang mengganggu aku.Aku hanya pasrah.Kalau tak kuat semangat, boleh jadi gila aku dibuatnya.Terasa dipanggil-panggil supaya aku naik ke tingkat tinggi dan terjun.Memang itu konon katanya tujuan aku diganggu.Supaya aku mati.Aku positif.Tiada siapa yang dapat menentukan ajalku melainkan Allah yang maha kuasa.Jika Allah telah ditakdirkan aku mati kerana 'diganggu', aku reda jika itu yang terbaik untukku.Waktu 'susah' ini juga, aku mula kenal siapa teman sesungguhnya dan siapa teman yang hanya di waktu senangku.Apa pun, bagi sesiapa yang sudi membaca catatan ku ini,doakan aku segera sembuh 100% kerana aku masih belum puas menjadi 'hambaNya'.Aku tak mahu jadi 'pontianak' lagi.

  Kepada teman-teman blogger, terima kasih atas sokongan.Scarlett's Petals akan terus hidup selagi aku 'siuman' dan dengan izin Allah yang maha esa.Andai keadaan mengizinkan, aku akan cuba berkunjung ke blog-blog kalian seprti waktu-waktu dulu.Terima kasih Kak Wa tolong jaga mak.Terima kasih Panji, Ibu Kuning, Ibu Putih, Oyen, Nunes, Cici, Kasmir, Eli,, Jackie dan Mika kerana selalu hiburkan hati mak.Jom ikut mak siram pokok bunga........



Pontianak dari Google.


3 comments:

suria lekatlekit said...

lama tak singgah ke blog ni.. apapun saya doakan akak kembali sembuh dari gangguan2 tu semua. Siapapun yang menghantar moga dia mendapat hidayah Allah & kembali kepangkal jalan

Izwa Kamaruddin said...

semoga kamu terus sihat ye..

iAmCekbolat said...

Dasyatnya dugaan akak . saye biase tlong kawan saya histeria je . mmg kesian tengok :(

Post a Comment