Assalamualaikum wth,
Kehadapan awak yang dihormati.Terlebih dahulu, jutaan maaf dipohonkan andai kata apa yang bakal saya nyatakan mengguris hati awak.(Kenyataannya hati awak sekeras batu;tidak akan mudah terguris) Tiada jalan lagi yang dapat saya ikut melainkan jalan penuh onak dan duri.
Awak yang dihormati.Telah sekian lama saya memendam rasa menjeruk hati semata-mata untuk mempastikan istana yang dibina terus gah.Terus kukuh.Namun kenyataannya istana itu hanya wujud di mata saya, bukan mata awak.Oleh demikian, biar apa pun hiasan indah yang cuba saya letakkan, tetap awak tarik runtuh tak tinggal kesan.Sampainya hati!
Awak... Saya tak pernah tahu sama ada selama ini saya hanya bertepuk sebelah tangan atau tidak.Awak buat saya keliru.Sekejap awak tatang saya bagai minyak yang penuh.Sekejap awak cincang-cincang hati saya menjadi hancur luluh.Tiada kesan.Saya keliru.Hinggakan keliru bertukar menjadi dungu.Sayalah yang dungu itu.
Awak.... Pernah sekali kita terpisah.Waktu itu saya nekad untuk terus menghapuskan nama awak dari hati.Hatta menyebut negeri awak pun saya ngeri.Namun campur tangan orang tua berjaya melembutkan hati saya.Mustahil awak lupa!Bila orang tua awak menangis dan merayu agar awak diberi peluang kedua.Maka, sekali lagi saya rela berkorban agar istana itu terus tegak meski asasnya selalu retak!
Awak... Bukan niat saya menyusahkan dengan memberikan syarat-syarat tersebut untuk menerima awak kembali.Namun itu adalah jaminan untuk membuktikan yang awak benar-benar masih perlukan saya.Oleh itu, andai awak sendiri melanggar janji yang termetrai, jangan salahkan saya andai saya tidak mungkin akan terima.Cukuplah saya diperkotak-katikkan sesuku abad hidup bersama.Hati saya retak beribu-ribu.
Awak....Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.Sesungguhnya saya telah terlalu penat berlari mengejar sesuatu yang tak pasti.Tiada guna jika hanya saya yang cuba mendayung biduk di kiambang namun awak hanya memerhati malah selalu cuba mengkhianati.Benar awak.Biduk berlalu kiambang bertaut namun biduk kita berlalu, kiambang takkan mungkin akan bertaut!Maafkan saya awak.
Suatu waktu dahulu, setiap denyut nadi dan desah nafas saya adalah untuk awak.Bukan penghargaan intan berlian yang saya mahukan namun cukuplah kata-kata terima kasih penyedap hati.Tetapi sebaliknya yang awak beri.Maka andai suatu masa nanti rasa kasih rasa sayang juga cinta yang melimpah ruah dalam dada saya bukan lagi milik awak, jangan sesekali awak salahkan saya.
Awak... Tempoh lama membina mahligai bukan jaminan ia akan kekal selamanya.Apa tah lagi andai awak sendiri yang mahukan ia runtuh...Tiada guna kata sayang andai ia hanya temberang.Memang silap saya kerana terlalu mengharap cantiknya sinar bulan sedang kenyataannya ia hanya palsu belaka.Maaf, awak...Saya telah terlalu letih menjadi orang lain, bukan saya.Izinkan saya berhenti berlakon dan jadi diri saya sendiri.
Awak.... Apabila keputusan telah pun bulat, biarpun saya awak label sebagai si pengikut kata yang tak punya otak,saya akan tetap bertindak.Demi sebuah kebahagiaan yang mutlak.Salah awak sendiri kerana terlalu lokek berkongsi rasa.Saya tak perlu basa-basi rumah tangga tetapi yang saya dambakan adalah ketenangan yang abadi tanpa terganggu dek awak yang selalu emosi.Maafkan saya, awak.
Awak... Andai ditanya masihkah lagi ada cinta untuk awak dalam dada saya, terus-terang saya nyatakan sedikit demi sedikit ia telah pergi dan mustahil akan kembali.Usahlah awak rayu.Usahlah awak paksa ia kembali.Cukuplah hanya sekali peluang diberi.Saya telah terlalu letih berlari mengejar sesuatu yang tak pasti.
Awak... Andai ia jadi kenyataan, terimalah hakikat bahwa saya bukan hak milik awak yang mutlak.Jangan bersedih kiranya saya jadi orang asing dalam hidup awak.Bukankah itu yang awak mahu?Sesungguhnya saya keliru dalam mempertahankan sesuatu yang tak pasti maka tahun-tahun saya terbazir begitu saja.Awak tak sukakan saya jadi biarlah saya pergi buat selama-lamanya.
Awak....Cukuplah.Izinkan saya meletakkan satu noktah.Saya telah terlalu letih.Terlalau!Terlalu!Tak guna awak pujuk.Tak guna awak rayu.Ibarat kaca yang pecah, mustahil hati saya akan bersatu kembali.Relakanlah saya mencari bahagia saya sendiri.Biar pun agak terlambat namun saya yakin ia belum terlewat.
Akhir kata, izinkan saya kalungkan ucapan terima kasih kerana sudi menerima saya di sudut hati meskipun hanya sebagai pengemis sepi.Izinkan saya mencari bahagia saya sendiri.Lupakanlah saya buat selama-lamanya.
Yang benar,
Saya.
Kiambang kita takkan lagi bertaut.