Showing posts with label adat perkahwinan Johor. Show all posts
Showing posts with label adat perkahwinan Johor. Show all posts

Sunday, August 31, 2014

Merewang koci dan rebus lesung.

   Sabtu, 30 Ogos,selepas zohor, aku rewang di rumah jiran selang 3 pintu dari rumah.Majlis sambut menantu anak sulung.Anak murid aku juga dulu.Macam biasalah bila merewang;potong bawang, gunting lada, potong sayur, potong timun, nenas dan macam-macam lagi.Tapi yang paling aku suka ialah buat kuih koci.Dari gentel inti sampailah membungkus.Seronok merewang ramai-ramai.

   Semasa merewang, makcik-makcik dan nenek yang ada sempat buat teguran tentang orang sekarang.Pertama, kalau ikut adat Johor sebenar, jika majlis bertunang atau menghantar pengantin lelaki untuk majlis di pihak perempuan, kaum kerabat terdekat iaitu ibu, bapa, datuk atau nenek, tak manis ikut sekali.Konon katanya tak percaya pada orang kepercayaan yang telah jadi wakil.Tentang majlis bertunang, aku setuju sebab bertunang belum ada lesen nak bergambar berdua-duaan antara bakal pengantin, jadi kurang manis kalau bakal pengantin lelaki ikut sama.Tapi kalau majlis menghantar pengantin ke rumah pihak perempuan, tak salah kalau emak ayah, datuk atau nenek ikut sekali.Itu pendapat akulah.Zaman dah berubah, kan?

   Sedang kami seronok berbual-bual, tiba-tiba langit mendung dengan awan hitam tebal.Tanda hari nak hujan.Di tempat aku ni, kalau hujan lebat, mesti beserta guruh dan kilat berdentum-dentum.Tapi, sebelum hujan turun tu, seorang makcik tu kata, kalau zaman dulu, untuk elakkan hujan, pihak pengantin perempuan akan melontar baju pengantin ke atas bumbung.Petua mengelakkan hujan konon katanya.Oklah.Boleh terima lagi.Tapi petua merebus anak lesung dan pastikan anak lesung tu tak empuk untuk mengelakkan hujan, bunyinya sungguh lucu!Tak logik langsung!Makcik-makcik dan nenek-nenek yang ada pun ketawa geli hati.Memanglah anak lesung takkan empuk!Iye tak?Hehehe!

   Tak lama kemudian, hujan pun turun dengan sangat lebat kira-kira sejam.Habis kami yang merewang di luar basah kuyup.Seronok pulak dah lama tak main hujan!Masa-masa beginilah nampak sangat betapa seronoknya buat majlis kahwin cara rewang kerana dapat merapatkan silaturrahim.Semua bekerjasama dan bergotong-royong.Tapi kalau upah katerer, tak de peluanglah nak beramah mesra.Kan?Sehingga jam 6 petang, selepas kenyang dijamu dengan nasi putih dengan pelbagai lauk, barulah kami pulang.Esok pulak merewang semasa majlis.


Inti koci 


Monday, November 19, 2012

Majlis kahwin di Johor 2

   Malam sebelum majlis, selepas maghrib, orang kampung berkumpul lagi di rumah pengantin.Malam inilah malam pernikahan.Selepas menikah, diadakan majlis berinai besar.Masa majlis berinai besar, saudara-mara yang tua akan menepung tawar pengantin dengan mencalit inai di tapak tangan, 'menciumkan' telur pada pengantin, menabur beras kunyit dan sebagainya.Takde niat apa cuma suka-suka je.kadang-kadang ada juga yang 'menciumkan' bayi pada pengantin.Tapi, adat yang ini, dah jarang sangat aku jumpa.Selepas majlis berinai besar, kadang-kadang ada majlis khatam al Quran.Jadi, anak dara Johor kena tau baca Quran dengan betul dan khatam Quran.Kalau tak, tak boleh buat majlis khatam Quran.Tamat majlis khatam, pengantin perempuan akan bertukar-tukar pakaian.Macam-macam pakaian yang dipakai contohnya baju India, Arab, Korea, Jepun, Cina dan sebagainya.Semua tu posing untuk ambil gambar je.Tapi, pengantin sekarang, suka buat di studio.Sementara tu, orang rewang belah malam, dihidang dengan sup tulang atau sup kaki ayam, cicah roti.

   Tiba hari langsung, pukul 11 tetamu dah mula datang.Kalau pengantin Johor tak sah kalau takde persembahan.Tak kiralah ghazal ke, nasyid ke atau live band.Tapi yang biasa, karaoke je lah.Yang ni bukan adat cuma suka-suka je.Time ni, kalau suara penyanyi tu ok, sedap juga jadi halwa telinga tapi kalau serupa katak panggil hujan, boleh pening kepala.Cakap tentang karaoke, majlis hari Ahad yang lepas, seorang tetamu yang juga asal orang kampung aku, telah sudi menyumbangkan suara.Kalau ntak silap, 5 lagu.Lagu pop yeh-yeh, lagu Jawa dan sebuah lagu nasyid bertajuk Taubat Maksiat, kalau tak silap.Suaranya power.Sekali dengar, sebijik jawa tulen tapi rupa-rupa orang Cina!


Pentas karaoke
Yang pakai tudung pink gelap dengan brooch besar terjuntai tu pun,
bukan main merdu suaranya.

Ala... kecik sangat gambar!


Inilah penyanyi Cina asal kampung aku.
Aku pun tak pandai nyanyi Jawa, dia menyanyi punyalah merdu.
Menyanyi nasyid pulak!
Ingat mati, ingat ingat...
Astaghfirullah...

   Macam biasa, majlis kahwin di kampung aku ni, memang majlis 1 Malaysia.Time nilah dapat jumpa saudara-mara dan rakan-rakan lama.Oh ya!Majlis kahwin cara rewang ni, biasanya tak guna caterer tapi upah tukang masak yang merupakan orang kampung juga.Tukang masak di kampung aku ni hebat.Masakan dia lebih lazat daripada masakan di hotel Selesa, pasir Gudang.Hehehehe... Asalnya guru besar tapi bila pencen jadi tukang masak sepenuh masa.Dulu, dia guru aku masa di darjah 6.Mengajar subjek BM tapi garangnya bukan main.Sampai sekarang aku takut nak tegur!Hahaha!!!

Yang baju belang tulah Cikgu BM aku @ tukang masak yang aku ceritakan.

   Selain tukang masak, orang yang paling penting semasa majlis kahwin yang dibuat secara rewang adalah.....
-
-
-
-
-
-
-
-
-
....tukang cuci pinggan!

   Biasanya tukang cuci pinggan, terdiri daripada anak-anak teruna tapi aku lihat budak-budak yang baru nak teruna pun dah rajin menolong.Melentur buluh dari rebung sungguh!Tapi, untuk permulaan, tolong cuci gelas je dulu.Sementara itu, ada juga yang ditugaskan untuk menyambut tetamu lelaki dan perempuan.
   

Penyambut tetamu bukan main manis lagi tersenyum!
Baju rewang / kendarat pun seragam.

   Dalam pukul 2 petang, pihak pengantin lelaki akan datang untuk majlis bersanding.Tapi, macam biasa, sebelum bersanding, kena bayar tol dulu ( ala.... bukan banyak pun,Suka-suka je.Tak buat pun tak pe).Kemudian, disambut dengan silat pengantin.Lepas tu barulah boleh bersanding.Bila pengantin dah bersanding, barulah budak-budak boleh minta bunga manggar.

Dah tak ramai yang pandai bersilat untuk pengantin.
Jadi, baik jugalah tok-tok guru turunkan ilmu pada anak-anak muda.

   Selepas bersanding, pengantin dijamu makan damai.Biasanya, pengantin bukan makan sangat pun.Maklumlah, makanan tu semua digubah punyalah cantik.Selepas makan damai, barulah potong kek atau pulut kuning.Akhir sekali,kedua-dua pengantin akan dibawa berjumpa dan bersalam-salaman dengan saudara-mara dan jiran tetangga.Sebagai penutup majlis, hari esoknya, kalau ada periuk belanga yang kotor, pengantinlah yang kena cuci.Kononnyalah.... Hehehe....Saja nak mengusik pengantin.

BEGITULAH ADANYA.....
   

  

   

Majlis kahwin orang Johor 1

   Seperti yang dijanji semalam, aku akan sambung tentang adat perkahwinan di Johor terutama di kalangan orang Jawa.Biasanya majlis dibuat secara rewang atau gotong-royong.Jiran terdekat dan saudara mara akan mula sibuk rewang, 3,4 hari sebelum majlis.Kalau yang lelaki, sibuk dirikan khemah dan sebagainya.Manakala yang perempuan, sibuk buat kuih-muih contohnya inti kuih koci, buat rempeyek, buat bahulu, kuih wajik kerisik dan macam-macam lagi.


Inti koci yang dibuat daripada kelapa parut dan gula merah atau gula melaka.


Inilah rupa wajik kerisik

   Sehari sebelum majlis, makin ramailah yang rewang.Kali ni, orang perempuan mula sibuk dari jam 10 pagi lagi.Kerja-kerja yang biasa dibuat, contohnya mengupas bawang merah, bawang putih, halia, nenas, timun, lobak, lada, kunyit, lengkuas dan sebagainya.Kadang-kadang, masa ni juga ada yang sibuk buat bunga rampai untuk buah tangan kalau ada majlis berkhatam AlQuran.Selain daripada itu, masa ni juga ada yang sibuk membungkus telur atau lain-lain buah tangan untuk tetamu.Kalau dulu-dulu, telur tu dicelup pewarna merah je.Tak pun, dibungkus dengan kertas tisu lap tangan dan dibuat jadi macam bakul.Tapi zaman sekarang macam-macam gaya!


Seronoknya dapat telur zaman kecik-kecik dulu.
Yang berbungkus dengan daun pisang tu, pulut kuning.


Rupa telur dibungkus tisu

   Masa rewang ini jugalah, keledek rebus akan dilenyek dan diuli setelah dicampur tepung pulut dan tepung gandum untuk membuat kuih koci.Aku paling suka bab buat kuih koci ni.Seronok je tengok kuih koci yang dah siap dibungkus.Semua tu perlu kemahiran tau.Kalau tak, daun pisang tu koyak.Selain kuih koci, kalau ikut adat dulu-dulu, kuih bongko pun ada.Kuih bongko ni dibuat daripada tepung beras, santan, gula dan pisang.Kemudian dibungkus.




   Kalau orang Jawa, time merewang tu memang perut kenyanglah.Selain kuih-muih kering, koci, bongko, wajik kerisik, wajik biasa, bahulu dan sebagainya, time tengah hari, memang disediakan makan tengah hari.Menu popular adalah nangka muda masak lemak, sayur keladi masak lemak atau sayur pisang masak lemak.Dihidang dengan ikan dumi atau ikan tali goreng.Tambah dengan sambal belacan dan masak ungkep hati dan pedal atau kari kaki ayam.Memang seleralah.Lepas makan, balik jap untuk solat zohor kemudian sambung semula sampailah ke petang.

   Rewang time petang, biasanya dah tak banyak sangat kerja.Cuma borak-borak meriahkan majlis sambil kunyah-kunyah kuih.Kalau tak cukup apa-apa, time nilah baru buat.Sebelum balik, dihidangkan lagi makan berat.Kira untuk makan malamlah.Lauk lebih kurang lauk tengah hari tapi biasanya ditambah dengan ikan goreng atau sambal goreng ( sambal ni sebenarnya bukan sambal tapi campuran pelbagai jenis sayur, tempe dan tahu yang dimasak kering dengan sedikit santan).Kiranya balik merewang, memang perut dah kenyang.Tapi ni adat orang jawa di tempat aku.Orang melayu kampung sebelah, takde kuih-muih dan makan berat tapi yang datang menolong dihidang dengan roti jala.

BERSAMBUNG

Monday, November 12, 2012

Adat ngundur mantu dan perkahwinan di Johor.

  Siapa blogger Jawa kat sini?Sila senyum!Kalau tak mengaku, berdosa.Cerita pasal Jawa ni, aku nak cerita satu adat yang rasanya masih lagi diamalkan di Johor iaitu adat 'ngundur mantu'.Ala... lebih kurang majlis kahwin biasa je tapi tuan rumahnya adalah pihak lelaki.

   Kalau dulu-dulu, pihak lelaki buat ngundur mantu dengan majlis kecil-kecilan je.Contohnya cuma buat doa selamat.Tapi sekarang, banyak juga pihak lelaki buat majlis besar-besaran.Contohnya, majlis yang aku hadiri semalam.Walau pun takdelah majlis besar tahap superstar, tapi boleh tahanlah.Bila tengok majlis, boleh tau yang emak pengantin jenis yang very well-organised.Macam majlis kat sekolah le ada AJK untuk tugasan masing-masing.

  Buat pertama kalinya, aku diminta menjadi penyambut tetamu.Maka bertugaslah aku mulai jam 10.30 pagi hingga 5 petang.Berhenti kejap-kejap lari balik rumah yang betul-betul depan rumah pengantin.Kalau kat sekolah, biasalah jadi penyambut tetamu untuk majlis, tapi kat kampung, ni le first time.Seronok juga sebab boleh kata aku sambut semua tetamu.Ramai yang aku kenal muka, tapi honestly nama dah tak ingat.Bila ditanya, kenal tak, aku jawable kenal.Kurang-kurang, untuk jaga hati dia orang.Lepas tu baru tanya pada makcik sepupu yang turut sama jadi penyambut tetamu.

   Berbalik pada adat 'ngundur mantu' ni, oleh kerana tuan rumah adalah pihak lelaki, kedua-dua pengantin perlu 'bertangguh' di rumah lain.Biasanya rumah sedara-mara.Dari tempat 'bertangguh' inilah baru mereka diarak dengan kompang  menuju ke tempat majlis.Kalau majlis pengantin biasa, tuan rumah adalah pihak perempuan, jadi, pengantin perempuan akan menunggu pengantin lelaki atas pelamin.Pengantin lelaki kenalah bayar 'tol' kat depan gerbang, depan pintu rumah dan depan pelamin.Ala... Bukan kena bayar banyak pun.Cuma untuk suka-suka je.tapi, untuk ngundur mantu, takdelah bayar tol.

   Adat yang lain tu, lebih kurang sama dengan majlis kahwin biasa.Contohnya, silat pengantin, beras kunyit yang ditabur bersama syiling, adat cium baby atas pelamin, adat tepung tawar, makan damai dan akhir sekali adat sembah takzim.Kalau dulu-dulu, masa pengantin lelaki nak naik pelamin, semasa nak bayar tol, pengapit pengantin lelaki kenalah berbalas pantun dengan mak andam.Lepas tu baru boleh naik pelamin.Adat ni bukan untuk menyiksa pengantin, cuma nak mengusik je supaya majlis tambah meriah.

   Satu lagi kebiasaan orang Johor di majlis kahwin ni terutama orang Jawa adalah rewang dan penanggah.Kalau yang perempuan, 2,3 bulan sebelum tu pihak pengantin dah sponsor baju untuk penanggah perempuan berbentuk kain ela bagi dibuat baju.Penanggah atau rewang lelaki biasanya dapat tshirt dengan nama pengantin.Seragam je semua.Seronok tengok.Masa majlis, ada karaoke.Untuk suka-suka je tapi ada yang menyanyi lagi best daripada peserta AF.Kalau yang bajet lebih tu, ada yang panggil kumpulan ghazal atau live band.Ada juga yang buat persembahan zapin atau kuda kepang.Tapi, yang agak alim sikit, panggil kumpulan nasyid budak-budak lelaki.Meriah juga.Untuk majlis ngundur mantu pun biasanya orang buat.Dan trend sekarang, majlis berkhatan pun ada yang panggil live band.Maknanya, 'salam keruk' iaitu salam beserta duit tu, ada juga masa majlis khatan.


   Pendeknya, majlis kahwin orang Johor, tak kiralah ngundur mantu atau bukan, biasanya penuh dengan adat dan cukup meriah.Tapi, mereka yang bukan orang Johor tu, jangan risau nak kahwin dengan orang Johor ye.Adat tu semua cuma untuk suka-suka je.Cuma bajet kena lebih sikitlah. Hehehehe...

Jomlah tengok gambar majlis semalam

-
-
-
-
-
-


Antara budaya yang tak patut dilupakan.
Aku pernah pergi majlis kahwin yang guna cd untuk bunyi kompang.
Tak patut betul!

-
-
-
-


Nampak segak sungguh pengantin lelaki pakai suit ala-ala tentera.
Anak murid aku tu

-
-
-
-
-

Ni silat pengantin.
Budak silat tu tengah mengusik pengantin sampai nampak macam silat helang pulak.
Mengepak je.
Pengantin nampak cool padahal peluh menitik-nitik panas!

-
-
-
-


Kan?Betul tak?
Nasib baik ada pengapit tolong lap peluh!
Kalau ikut adat, pengapit kena pakai baju Melayu.
Tapi, pengantin lelaki pun tak pakai baju Melayu.
Oklah tu.

-
-
-
-

Kek pengantin.
Adat potong kek pengantin ni adat orang putih.
Takde dalam adat orang Melayu.
Tapi, takpelah kan?
Bukan niat apa.
Cuma nak bagi cantik majlis je...

Psst!!!!
DAH SEDIA NAK KAHWIN DENGAN ORANG JOHOR?
:D




Ni Bro Framestone dan wife, orang Johor.
Tak baik tau, kata menyesal kahwin dengan orang Johor.
Kecik hati!
:(