Sunday, August 31, 2014

Merewang koci dan rebus lesung.

   Sabtu, 30 Ogos,selepas zohor, aku rewang di rumah jiran selang 3 pintu dari rumah.Majlis sambut menantu anak sulung.Anak murid aku juga dulu.Macam biasalah bila merewang;potong bawang, gunting lada, potong sayur, potong timun, nenas dan macam-macam lagi.Tapi yang paling aku suka ialah buat kuih koci.Dari gentel inti sampailah membungkus.Seronok merewang ramai-ramai.

   Semasa merewang, makcik-makcik dan nenek yang ada sempat buat teguran tentang orang sekarang.Pertama, kalau ikut adat Johor sebenar, jika majlis bertunang atau menghantar pengantin lelaki untuk majlis di pihak perempuan, kaum kerabat terdekat iaitu ibu, bapa, datuk atau nenek, tak manis ikut sekali.Konon katanya tak percaya pada orang kepercayaan yang telah jadi wakil.Tentang majlis bertunang, aku setuju sebab bertunang belum ada lesen nak bergambar berdua-duaan antara bakal pengantin, jadi kurang manis kalau bakal pengantin lelaki ikut sama.Tapi kalau majlis menghantar pengantin ke rumah pihak perempuan, tak salah kalau emak ayah, datuk atau nenek ikut sekali.Itu pendapat akulah.Zaman dah berubah, kan?

   Sedang kami seronok berbual-bual, tiba-tiba langit mendung dengan awan hitam tebal.Tanda hari nak hujan.Di tempat aku ni, kalau hujan lebat, mesti beserta guruh dan kilat berdentum-dentum.Tapi, sebelum hujan turun tu, seorang makcik tu kata, kalau zaman dulu, untuk elakkan hujan, pihak pengantin perempuan akan melontar baju pengantin ke atas bumbung.Petua mengelakkan hujan konon katanya.Oklah.Boleh terima lagi.Tapi petua merebus anak lesung dan pastikan anak lesung tu tak empuk untuk mengelakkan hujan, bunyinya sungguh lucu!Tak logik langsung!Makcik-makcik dan nenek-nenek yang ada pun ketawa geli hati.Memanglah anak lesung takkan empuk!Iye tak?Hehehe!

   Tak lama kemudian, hujan pun turun dengan sangat lebat kira-kira sejam.Habis kami yang merewang di luar basah kuyup.Seronok pulak dah lama tak main hujan!Masa-masa beginilah nampak sangat betapa seronoknya buat majlis kahwin cara rewang kerana dapat merapatkan silaturrahim.Semua bekerjasama dan bergotong-royong.Tapi kalau upah katerer, tak de peluanglah nak beramah mesra.Kan?Sehingga jam 6 petang, selepas kenyang dijamu dengan nasi putih dengan pelbagai lauk, barulah kami pulang.Esok pulak merewang semasa majlis.


Inti koci 


1 comments:

Unknown said...

sekarang ni bertunang pun dah ada pelamin.lelaki siap bergambar sekali dengan tunangnya atas pelamin.heheh..

Post a Comment