Hazrul mengayuh basikalnya laju-laju.Baginya debu merah berterbangan itu bukan penghalang.Hazrul ingin segera sampai di rumah.Kiut basikal tua peninggalan gemulah bak,makin kuat kedengaran.Sesekali Hazrul mengelak tompok-tompok hijau kehitaman yang rata menghiasi jalan. Pun demikian, terpercik juga setompok dua di kaki seluar Hazrul yang lusuh.Hazrul tidak peduli.Yang penting, Hazrul ingin segera sampai di rumah.
"Hazrul, kalau bak dah tak ada nanti, Hazrul jagalah ma dan adik-adik,"suara bak kian lemah namun jelas di pendengaran Hazrul.
"Hazrul janji, bak. Hazrul akan ubah nasib kita.Hazrul akan bela nasib ma dan adik-adik," janji Hazrul,lepas satu,satu mengiringi denyut jantung bak yang kian lemah.
Akhirnya bak pergi juga. Hazrul ingat sangat-sangat.Dalam kesibukan orang lain menyambut ketibaan Syawal, Hazrul kehilangan dahan tempat berpaut. Hazrul juga masih ingat raungan adik Ja, adik Na dan adik Soh. Ma hanya terhinggut-hinggut di hujung kepala bak. Sesungguhnya ma wanita tabah. Kemiskinan dan penderitaan yang berakar umbi dalam diri ma, tak pernah ma sungutkan. Ma bersyukur seadanya. Pasrah. Hazrul sedar kemiskinanlah yang mendewasakannya. Kemiskinan jualah yang mematangkannya.
"Hazrul, tiap satu ketentuan Allah ada rahmatNya," Hazrul masih ingat suara ma yang lembut. Mata ma berkaca-kaca namun tidak setitis pun airmatanya tumpah. Saat itu Hazrul meraung di akhir nafas bak. Adik Ja, adik Na dan adik Soh yang belum mengenal erti hidup, juga meraung mengiringi pemergian bak. Hazrul sedar tanpa bak siapalah yang akan mengais rezeki. Siapalah yang akan mengisi perutnya adik-beradik.Pemergian bak bermakna akan muncullah awan mendung dalam hidup Hazrul sekeluarga.
"Tak usahlah diratapi bak yang telah pergi.Biarlah bak pergi dengan aman," sesekali ma menarik nafas panjang. Suaranya bagaikan setitis embun yang menyejukkan hati Hazrul. Hazrul menyeka airmatanya. Seolah-olah terngiang-ngiang suara bak mengaji. Suara bak menghambat lembu-lembu ke kandang.Juga suara bak berdendang, " Anak itik tok wi , mandi dalam kolam..." menghibur adik Na, adik Ja dan adik Soh. Masih terbayang di mata Hazrul wajah penyayang bak. Masih juga lekat di benak Hazrul, wajah ceria adik Na, adik Ja dan adik Soh dalam pelukan tangan kekar bak.
Bak masih muda benar. Seingat Hazrul umur bak tak sampai pun lima puluh. Waktu itu Hazrul yang mengisi borang bancian kemiskinan yang diberi oleh cikgu Joleha. Cikgu Joleha tahu sangat keadaan diri Hazrul sekeluarga. Kerana itulah setiap tahun nama Hazrul tidak pernah tercicir untuk menerima pelbagai bantuan. Hazrul sedar pertolongan cikgu Joleha banyak meringankan beban bak. Pernah juga cikgu Joleha sendiri yang datang ke gubuk buruk Hazrul waktu Hazrul ponteng seminggu. Hazrul ponteng bukan kerana malas.Hazrul juga ponteng bukan kerana jemu.Apatah lagi kerana bencikan sekolah.Tetapi Hazrul ponteng kerana bengkak bernanah di kaki bak.
Masih jelas di mata Hazrul, wajah sayu cikgu Joleha.Bagai ada keinsafan dalam dirinya.
"Lihatlah cikgu!Inilah rumah saya.Inilah keluarga saya," desis hati Hazrul waktu itu. Bagi Hazrul,tiada perkataan yang mampu diluahkan.Hanya senyum pahitnya seiring denyut bisa di kaki bak yang membengkak.
"Macam mana boleh sampai begini,makcik?"terpacul soalan dari bibir comel cikgu Joleha yang merah berlipstik.Waktu itu cikgu Joleha telah pun meletakkan punggung bertimpuh di hujung kaki bak.
"Duduklah cikgu!Tiada kerusi dapat saya sediakan.Hanya tikar buruk buatan ma," terbetik baris-baris kata dalam benak Hazrul.Pun demikian,hinggalah cikgu Joleha pulang,tiada perkataan yang mampu Hazrul luahkan.Sekadar senyuman pahit di bibir yang mampu Hazrul ukirkan.
Ma teresak kecil.Hati ma sayu bagai dihiris.Adik Soh yang masih berhingus, terbaring di ribaan ma.Sesekali kepala adik Soh menyondol-nyondol dalam baju kurung ma yang mulai kusam. Sesekali juga ma menepuk-nepuk punggung adik soh.Adik Soh hanya berseluar kecil.Hazrul juga dulu begitu.Waktu itu adik Ja, adik Na berada di halaman. Hazrul pasti. Adik Ja dan adik Na tentu sedang bermain di bawah pohon jambu golok di hujung pagar. Pasti anak patung kecil buatan ma di tangan adik Ja. Hazrul tetap ingat,ma mengumpul segajut besar kekabu buat mengisi tubuh anak patung yang ma jahit. Kainnya pula ma gunting kain reja lebihan buat baju Mak Coh gemuk yang tinggal di seberang sungai.
"Mulanya Pak Leh terpijak paku belakang rumah. Pak Leh dah pupuk dengan bawang tumbuk bubuh minyak masak.Biasanya sekejap saja dah kebah tapi tau-tau, makin membusung nanah," ma seka airmata yang mula mengalir laju.
"Mak cik tak bawa ke hospital?"soal cikgu Joleha sambil matanya terus terpaku ke kaki bak yang besar macam batang balak. Luka terpijak paku, tak kelihatan namun kaki bak yang membiru bengkak bernanah memang telah parah.
"Macam mana makcik nak bawa?Hospital jauh dan perlu belanja," ma tambah sebak. Air mata ma, ma kesat dengan hujung baju kurung yang telah tak tentu warnanya. Adik Soh diam di pangkuan.Lena.Hanya dadanya kelihatan turun naik. Hazrul perhatikan cikgu Joleha diam.Bagai memikir sesuatu.
"Kalau makcik setuju, kita bawa Pak Leh ke hospital dengan kereta saya sekarang juga.Penyakit Pak Leh tak boleh dibiar saja," cikgu Joleha bagai memerintah.Ma hanya mengangguk lemah.Sedetik kemuidian, Hazrul berlari ke rumah Pak Cu Da,Pak Teh Embong dan Lebai Min. Mereka pelu untuk mengusung bak ke kereta. Ma masih memandang ke arah bak yang terkejang kaku. Bak tidur pulas.
Seminggu bak di hospital.Doktor kata dua tiga hari lagi kaki bak akan dipotong. Hazrul dengar doktor muda bermata sepet itu memberitahu cikgu Joleha bahawa bak menghidap diabetis.Waktu itu Hazrul tidak faham apa itu diabetis.Ma apatah lagi. Namun kini Hazrul mengerti. Selama bak di hospital, ma dan adik-adik menumpang di rumah cikgu Joleha di bandar.Senang untuk melawat bak kata cikgu Joleha. Ma hanya akur. Hinggalah hari bak pergi tanpa sempat dipotong kaki dengan takbir mengiringi. Hariraya itu jugalah ma, Hazrul, adik Ja, adik Na dan adik Soh merasa pakai baju baru.Semuanya atas budi baik cikgu Joleha. Pun demikian Hazrul dapat merasakan getir perasaan ma yang baru ditinggalkan.
Sejak pemergian bak, cikgu Joleha makin kerap ke rumah. Ada-ada saja buah tangan untuk ma,Hazrul, adik Ja, adik Na dan adik Soh. Terkekeh senang adik Soh memegang senapang hitam merah pemberian cikgu Joleha.Senapang kayu buatan bak,adik Soh campak entah ke mana.
"Ah!Adik Soh belum mengerti,"desis hati Hazrul.
Adik Ja dan adik Na senyum meleret dengan anak patung besar di tangan. Mulai saat itu, adik Ja dan adik Na tak putus-putus menyebut 'adik bear' seperti ajaran cikgu Joleha.Ma sendiri bagai ingin menyembah cikgu Joleha atas pemberian mesin jahit cap Singer.
"Senanglah makcik nak ambil upah menjahit," kata cikgu Joleha.Hanya air mata ma saja tanda ucapan terima kasih yang melaut.
Sejak pemergian bak juga, segala perbelanjaan sekolah Hazrul, cikgu Joleha yang tanggung. Pelbagai buku rujukan diterima Hazrul. Hazrul sedar,tiada kata yang mampu diucapkan sebagai tanda terima kasih. Hanya satu.Kejayaan.Hazrul berjanji untuk mencapai kejayaan dalam PMR.Seboleh-bolehnya 8A.Hazrul ingin membela nasib ma, adik Ja, adik Na dan adik Soh seperti wasiat bak. Hazrul ingin membalas budi baik cikgu Joleha yang cuma ada satu antara seribu.
Pohon jambu golok di hujung halaman makin lama makin hampir. Hazrul memperlahankan kayuhan. Kiut basikal tua tapi berjasa kenangan dari bak juga kian perlahan. Mata Hazrul meliar mencari ma. Mata Hazrul melingas mencari adik ja, adik Na dan adik Soh. Basikal tua bak Hazrul sandarkan di tepi tiang di depan rumah.Hazrul melangkah satu-satu.Kertas di tangan Hazrul genggam erat-erat. Hazrul ingin sampaikan berita paling gmbira buat ma. Kertas putih yang tercatat nama Mohd Hazrulhisham bin Salleh dengan catatan A A A A A A A A bagi tiap satu pelajaran,ingin Hazrul persembahkan pada ma. Di sekolah, cikgu Joleha mengalirkan air mata kesyukuran. Hazrul puas kerana 8A itu adalah hadiah tidak ternilai buat cikgu Joleha.
"Ma!Ma!Laung Hazrul dari tanah. Tiada jawapan.Senyap.
"Ma!Adik Ja!" Hazrul melaung lagi. Juga senyap. Jam pemberian cikgu Joleha menunjukkan pukul sepuluh pagi. Masih awal benar. Ke mana ma?Ke mana adik Ja?Ke mana adik Na dan adik Soh?Hati Hazrul mulai rusuh.
Perlahan-lahan daun pintu rumah, Hazrul kuakkan. Tiada siapa di dalam. Senyap.Sunyi.Mesin jahit Singer ma,berdiri kaku di hujung ruang. Adik bear yang berbulu tebal warna kelabu tergolek di kaki pangkin di dapur. Senapang hitam merah adik Soh terdampar kaku di ruang tengah.Ma tidak kelihatan.Begitu juga adik Ja, adik Na dan adik Soh.
Hazrul merebahkan tubuh di atas tikar mengkuang kian lusuh anyaman ma. Kertas putih di genggaman, Hazrul renung. Dalam. sekilas, Hazrul teringat gambar bak dalam gerobok di celah lipatan kain. Hazrul bingkas.Sekeping gambar yang telah carik di penjuru atas belah kanan Hazrul keluarkan.Bak tersenyum. Bagai tiada kepahitan dalam diri bak waktu itu. Hazrul masih ingat,bak bergambar di kedai New Jali di bandar.
"Untuk buat IC," kata bak.Waktu itu Hazrul ada sama. Hazrul juga bergambar untuk buat IC.Perlahan-lahan senyuman mekar di bibir Hazrul.
"Bak!Hazrul berjaya!Hazrul akan tunaikan pemintaan bak.Hazrul akan bela nasib ma dan adik-adik," bagai ada bak yang tersenyum di mata Hazrul.
Hazrul merebahkan diri kembali. Gambar bak Hazrul dakap erat-erat.
"Hazrul!Hazrul!" Kedengaran nama Hazrul dilaung. Hazrul segera bingkas.
"Oh!Pak Cu Da! Naiklah," Hazrul masih riang.
"Tak payahlah Hazrul.Cuma ..." Bagai ada batu yang menyekat kerongkong Pak Cu Da. Hazrul mula merasakan sesuatu yang tidak kena. Hazrul pandang Pak Cu Da. Kain semutar Pak Cu Da terlilit kemas di kepala. Tiada senyuman seperti selalu. Pak Cu Da tidak tersengih menampakkan gigi berkaratnya yang tinggal sebatang dua.
"Hazrul!Ma dan adik-adikmu pagi tadi ke seberang, ke rumah Mak Coh kerana menghantar baju yang Mak Coh upah. Ma kayuh perahu sendiri.Malangnya perahu ma terbalik dilibas buaya. Pak Cu sendiri nampak ma ditokak buaya.Adik-adikmu Pak Cu tak tahu.Tapi, polis dan orang kampung dah turun mencari," bagai ada halilintar yang menyambar Hazrul.
Mata Hazrul berkaca-kaca.Gambar bak di tangan Hazrul genggam erat-erat.Kertas putih di tepi tiang atas tikar mengkuang Hazrul pandang dalam-dalam.
"Ma!"Sedetik itu Hazrul terkulai di muka pintu.