Thursday, August 5, 2010

Asam pedas ikan sembilang dan telur goreng mata kerbau

   Pagi-pagi lagi aku dah bersiap memulakan hariku.Rambutku yang panjang ku tocang dua.Kadang-kadang ku buat ikat ekor kuda.Riben putih dari guntingan kain ibuku setia menghias rambutku yang hitam pekat.Telur setengah masak pun telah ku habiskan sebagai sarapan.Tinggal dua biji minyak ikan menanti untuk ku makan.Ayah kata minyak ikan baik untukku.Meskipun aku anak kampung, pelajaranku rasanya boleh dibanggakanNombor satu memang sentiasa dalam tangan.

   Aku harus segera ke sekolah kerana hari ini tugasku untuk membersihkan bilik darjah.Meskipun sekitar masih gelap, langkah mesti ku mulakan.Apa nak dirisau kerana ramai juga yang turut berjalan kaki bersama.Tiba di sekolah, sebaik saja ku letakkan beg kotak merah hitam pemberian ayahku di kerusi, aku mula mengambil penyapu lidi.Aku dan teman-teman sedarjahku lah yang membawa penyapu lidi seorang seikat ke sekolah.Pekan jauh jadi kami berpuas hati dengan hanya berpenyapu lidi.Kami amat cermat menggunakannya.Jarang ada penyapu yang hilang.Yang ada, penyapu lidi yang semakin pendek kerana terlalu kerap digunakan.

    Aku dan temanku,Rohaya menyapu seluruh kelas.Habis di kelas, kami dan teman-teman yang lain bersama-sama menyapu di luar bilik darjah.Ada banyak pohon kemboja berbunga putih di sekeliling sekolah.Aku amat gemar menghirup udara pagi yang segar dan bau kemboja yang wangi. Selesai menyapu, aku dan teman-teman mengutip kemboja gugur yang masih segar.Kami bawa ke kelas dan letakkan di dalam bekas.Ku isi air agar kemboja tetap terus segar.Seharian bau kemboja yang wangi, menemani ku belajar sepanjang hari.

    Di waktu rehat, aku dan teman-teman jarang ke kantin (sebuah pondok kecil dengan jualan ala kadar ).Temanku Munaliza seorang anak nelayan.Maka dia sering membawa pelbagai lauk ikan segar.Aku sangat suka asam pedas ikan sembilangnya yang aduhai!Biasanya aku hanya membawa nasi kicap dengan lauk telur mata kerbau.Lalu kami bertukar-tukar lauk dan makan di bawah pokok.(Sepohon pokok berdaun lebar yang ku kenal sebagai pohon zaitun pada waktu itu)Teman-teman lelaki yang jarang membawa bekal turut sama dapat merasa lauk yang kami bawa kerana biasanya ibu membekalkan lebih nasi dan lauk.

   Bila loceng tamat sekolah dibunyikan, aku dan teman-temanku makan lagi baki nasi yang ada.Kerap juga ayah menghantar bekal ke sekolah buatku dan juga teman-teman.Selesai makan, kami berehat sebentar dan kemudian kami bermain belon acah ( atau galah panjang).Lelaki perempuan bermain bersama dengan ikhlas tanpa ada rasa curiga.Penat bermain kami berehat sebentar dan menukar pakaian ke baju kurung dan tudung.(Sebelum itu pakaian seragam ku untuk sekolah kebangsaan adalah pinafore biru dan kemeja putih )Kemudian dari jauh ku lihat ustaz berjalan mengepit buku dan kami bergegas ke kelas untuk memulakan kelas. (kelas agama )

   Alangkah indahnya waktu yang berlalu namun kini semuanya hanya tinggal memori.Buat sahabat-sahabatku dulu, maaf andai masa dan keadaan memisahkan kita dan kemesraan tidak lagi dapat kita nikmati.Sesungguhnya aku masih tetap merindukan teman-temanku dulu Rohaya, Fadilah, Munaliza, Norazan, Jerfendi, Azli, Fauzi, Yusman, Huzaini dan ramai lagi.Semoga kita berbahagia dengan jalan kita masing-masing.Takkan ku lupa kenangan asam pedas ikan sembilang dan telur mata kerbau kita.

    


1 comments:

Anonymous said...

Kenangan silam, masih ku ingat lagi pokok kemboja dan pokok zaiton di sekolah tempat kita sama belajar.

Post a Comment