Wednesday, June 16, 2010

Hempedu atau madu

   Semalam ku baca di akhbar tentang seorang pemuda membunuh diri kerana cinta. Betapa ceteknya manusia berfikir untuk mati hanya kerana kecewa cinta.Seolah-olah cinta lebih berkuasa dari tuhan, lebih penting dari agama.Semalam juga aku menonton sebuah filem barat tentang manusia membunuh diri.Antara dialog yang ku ingat, manusia yang mati membunuh diri takkan diampunkan oleh tuhan walau apa pun kepercayaan atau agama manusia berkenaan kerana nyawa bukanlah hak milik mutlak seorang manusia. Nyawa hanyalah pinjaman yang harus dijaga.Nyawa adalah hak tuhan.

   Oleh kerana berkuasanya cinta, maka selalu ku ingatkan pada anak-anak muridku agar jangan tersalah jatuh cinta. Ramai yang tertawa bila ku katakan cinta itu buta.Ramai juga yang berkata "Ah,takkan kita senang-senang nak jatuh cinta?Kita nak cari yang baik, yang alim, yang kaya dan tentunya yang kacak.Kita juga tak nak jatuh cinta dengan orang merokok"Itu jawapan biasa yang ku terima.Ah!Anak-anak!Kau masih belum tahu putar belit dunia. Sekali kau jatuh cinta, hempedu kau rasa madu. Rupa tak seberapa pun kau rasa setampan Justin Bieber. Poket kosong pun tak apa, kerana kau sangup berkorban jiwa raga.Akhirnya kau terperangkap oleh indahnya cinta.

   Ada juga ku dengar anak-anak gadis baru tumbuh belum cukup wangi sanggup berkelahi kerana berebut cinta seorang lelaki.Biasanya lelaki pujaan adalah lelaki rebutan, tampan, bergaya, mungkin kaya walau prestasi akademi tidak seberapa.Cinta monyet tidak mengapa kerana singgah sebentar bak embun di pagi hari.Timbul mentari embun pasti pergi. Tetapi ku bimbang cinta singgah setengah mati maka butalah mata, hilanglah kewarasan demi mempertahankan cinta idaman.Andai sungguh sang jejaka ikhlas, selamatlah anakku cinta berbalas. Tetapi ku bimbang sang jejaka si petualang, menjaja cinta dengan semua maka kecewa dan merana jadi teman setia.Andai pertimbangan dan iman terlalu cetek, ku bimbang membunuh diri jalan diambil konon tidak mampu hidup tanpa cinta.

   Oleh itu anak-anakku, berhati-hatilah menerima dan memberi cinta.Semoga hidupmu diberkati sentiasa, ke anak cucu bahagia bersama.  

0 comments:

Post a Comment