Alhamdulillah... esok kita akan menyambut Aidiladha.Bila raya, macam-macam menu kita nak masak untuk keluarga,kan? Ketupat nasi, ketupat pulut, nasi minyak, nasi impit dan macam-macam lagilah.Agak-agak, ada tak yang masak spaghetti dan yang seketurunan dengannya ye? Bagi aku, raya ni aku nak berdagang.Apa lagi, nasi daganglah. Tak salahkan kalau aku berdagang?Maklumlah aku ni orang Johor.Takkan asyik nak makan laksa Johor je.Ye tak?Jadi, aku pun selongkar buku resipi kenangan tinggal di Terengganu suatu masa dulu.Hasilnya, inilah dia....
Hidangan untuk 5 orang sesuai kot.
Untuk nasi
4 tin beras baik punya (kat Johor susah nak cari beras nasi dagang, jadi pandai-pandailah pilih beras yang sesuai)
1 tin beras pulut. (Cari pulut yang berkualiti ye)
1/2 tin santan pekat ( campur dengan garam dan gula sesedap rasa)
Tin aku guna tin susu.
1 sudu besar halba yang dibasuh dan ditoskan
Bawang merah kecik dan halia muda dihiris halus-halus.
( Jumlah ikut sukalah )
Air atau santan cair
Untuk gulai ikan
1 tin santan pekat
3 sudu besar cili giling (Guna cili yang asli lagi sedap.Apa lagi, tumbuklah 15 biji cili kering)
2,3 sudu besar rempah gulai
(Rempah ni kalau aku le, wajib guna yang timbang kilo jual di Pasar Payang.Kalau tak, guna rempah gulai cap ros merah.Tapi dua-dua rempah ni aku tak jumpa di Pasir Gudang)
6 keping asam keping ( atau ganti dengan asam jawa pun boleh.Ambik airnya )
Garam dan aji no
Gula nisan (yang leper atau gula melaka pun boleh)
Jangan guna gula merah tau.Tak sedap.
Kalau tak de, guna gula pasir je.
2,3 biji cili merah dibelah dua dan buang biji
6 biji belimbing buluh.(Kalau tak de, tak pe.Jangan letak belimbing bintang tau)
1 ekor ikan tongkol
1 cm belacan kalau suka
Bahan ditumbuk
Bahan-bahan berikut mesti ditumbuk kalau nak sedap.
Tapi kalau tak berapa nak rajin, blend je le.
1 biji bawang besar ( pilih jenis merah.Kalau bawang yang hijau tu tak sedap)
3 ulas bawang putih
2 cm halia
4 cm lengkuas
Bahan acar
2 batang timun
1 batang lobak merah
1/2 biji bawang besar
1 biji lada besar
Cuka, garam, gula, aji no
Cara-caranya:
Untuk nasi
1.Basuh beras( beras biasa dan beras pulut) dan rendam semalaman.
2.Sediakan pengukus.
3.Bila air mendidih, kukus beras.Biar 5-10 minit.
4.Angkat dan pindahkan ke bekas besar contohnya talam atau besen.
5.Masukkan air atau santan cair.Gaul rata dan biar beras tu kembang.
6.Kemudian, kukus semula beras yang mula bertukar jadi nasi tu.
7.Biar sekejap.
8.Ulang semula proses no.4 tapi kali ni gaulkan dengan santan pekat , bawang hiris, halia hiris dan halba.Gaul rata-rata.
9.Kukus semula hingga nasi cukup masak.
Untuk gulainya
1.Ikan tongkol dipotong keping-keping.Cuci bersih dan letak dalam periuk.Bubuh garam, aji no dan asam keping serta sikit je air.Masak sampai ikan masak.Oleh kerana air tu sikit, kena jaga api supaya ikan masak tapi tak hangus.Ikan ni boleh disediakan lebih awal.
2.Guna periuk lain untuk masukkan cili giling, sikit asam jawa, belacan, bahan tumbuk, gula nisan, garam, aji no dan rempah.Gaul rata-rata.
3.Ambik isi ikan dan gaulkan dengan bahan dalam periuk tadi.Masak mati air agak-agak sampai mesra rempah dengan ikan.Api kena jaga betul-betul supaya tak hangus dan jangan selalu sangat dikacau supaya ikan tak hancur.
4.Bila dah ok, masukkan santan, lada dan belimbing.
5.Masak hingga mendidih.
6.Kuah mesti sentiasa dijaga supaya santan nak berketul.
7.Biar mendidih hingga timbul minyak di permukaan kuah.
* Ini cara yang aku belajar dari orang tua di Terengganu.Tapi ada juga yang guna cara lain contohnya bahan-bahan tu ditumis,
Untuk acar
1.Timun dan lobak dipotong panjang.Berapa panjang tu ikut suka je.
Timun tu jangan ambik intinya.
2.Bawang dan lada dihiris
3.Kemudian,gaulkan semua dan tambahkan cuka, garam dan gula.
4.Gaul rata dan simpan sekejap dalam peti sejuk.
5.Kalau nak tambah nenas pun boleh, tapi dah jadi acar rojak pulak.
Gulai nasi dagang tahun lepas.
( Untuk gulai yang lazat, masa memasak tu wajib gunakan periuk yang cantik.
Petua psikologi. :D )
Jom cuba!
0 comments:
Post a Comment