Ayahku bukan seorang nelayan tetapi oleh kerana memenuhi tanggung jawab menafkahi keluarga, sering juga ayah ke pesisir pantai untuk menjala atau berkarang, 2 aktiviti yang juga menjadi hobiku adik-beradik 30 tahun dulu.Setelah berpindah ke tempat baru kira-kira 14 tahun dulu, segalanya hanya menjadi suatu kenangan yang tak mungkin ku lupakan.
Aku takkan pernah lupa senyum ayah dengan bakul berat di tangan dan aku adik-beradik berebut-rebut melihat ayah menuang hasil tangkapan ke dalam besen besar.Seriding, ketam, udang dan pelbagai lagi hasil laut yang setia menjadi menu istimewa waktu itu.Aku juga masih ingat, betapa aku setia di sebelah emak yang menyiang ikan-ikan dan aku adik-beradik akan menjerit riang sekiranya terlihat butir-butir kuning di celah perut ikan.
Selain menjala, ayah juga gemar berkarang iaitu aktiviti mencari siput-siput laut di pesisir pantai.Oleh kerana kulitku yang selalu sensitif, jarang ayah membenarkan aku ikut sama.Maka apabila ayah pulang, akulah orang yang paling teruja meninjau isi bakul di tangannya.Hasil berkarang biasanya ketepe iaitu sejenis kepah, gonggong ( sejenis siput ) dan kadang kala ikan nipah yang biasanya bersembunyi di bawah-bawah batu semasa air surut.Hasil berkarang yang sering ku tunggu adalah tiram dan waktu itu tiram sebesar pinggan akan menjadi juadah paling istimewa kami sekeluarga.
Aku juga amat gemarkan sejenis lagi hidupan laut dipanggil boren yang asalnya bersaiz pinggan tetapi mengecut sebesar syiling 50 sen setelah dimasak.Proses memasaknya juga rumit kerana ia perlu dikikis berhati-hati agar tidak gatal setelah dimasak.Meskipun ia hanya makanan orang kampung, namun bagiku nilai nostalgianya lebih dari apa pun.Hingga kini aku tidak pernah lagi dapat merasa betapa lazatnya boren yang mungkin amat aneh bagi orang lain.
Belangkas juga akan menjadi menu istiwewa keluargaku sekiranya ayah berjaya menangkap seekor dua.Aku amat gemar menelentangkan belangkas yang ditangkap dan aku akan terkekek-kekek ketawa melihat ia terkial-kial dengan kaki-kakinya yang lucu.Menu istimewa emak adalah belangkas bakar dan kami akan berebut-rebut mengambil telurnya yang kekuningan lazat.Selain bakar, ia juga enak dimasak asam pedas .( Aku takkan pernah lupa ditarik telinga oleh emak kerana cuba-cuba menggiling lada untuk memasak asam pedas kerana lada yang jatuh lebih banyak dari lada yang ku giling )Namun sejak umurku 12 tahun, belangkas tidak lagi tersenarai dalam hidangan kegemaranku kerana tragedi yang hampir membuatku mati.
Meskipun kehidupanku kini serba cukup, kebahagiaan sebagai anak kampung takkan pernah ku lupakan.Meskipun hanya gambar yang tak mungkin dapat mengungkapkan segala kenangan dapat aku paparkan,kerinduan akan bahagianya masa lalu dapat aku luahkan.Semoga suatu hari nanti aku akan bertemu kembali dengan ketepe, gonggong dan boren.( Hingga kini aku masih terbayang senyum ayah pulang menjala atau berkarang dengan bakul berat di tangan )
|
Masih aku terasa akan lazatnya tiram segar yang dibawa pulang oleh ayah |
|
Ikan tembakul, teman setia ayah sewaktu menjala |
|
Ketam kesukaanku yang terperangkap dalam jala ayah |
|
Ikan seriding , kecil tetapi lazat.Selalu ditangkap oleh ayah semasa menjala |
|
Aktiviti menjala yang menjadi hobi ayah sewaktu aku kecil dahulu |
|
Belangkas bakar yang pernah menjadi kegemaranku hinggalah terjadi suatu tragedi |
|
Belangkas, sejenis ciptaan tuhan yang unik |
|
Semasa kecil dulu, inilah hobiku ; melihat belangkas terkial-kial dengan kaki-kakinya yang tak berhenti bergerak.Lucu sungguh bagiku waktu itu |
|
Belangkas asam pedas yang dimasak dengan cili yang digiling oleh emak |
|
Gonggong, sejenis siput laut yang amat lazat
(Kini aku masih dapat melihatnya tetapi hanya sebagai keychain cenderamata ) |
|
Kepah yang dipanggil ketepe |
3 comments:
ooo belangkas rupanya.. betul tak?
x jmp gmbr boren? x kan belangkas mengecut sis?
Boren dnegan belangkas tak sama.Boren takde cengkerang dan akan mengecut bila dah masak.Tapi belangkas ada cengkerang dan tak mengecut.
Post a Comment