Saturday, September 18, 2010

RM5 dan 5 buah lukisan

    Hari ini juga aku mesti siapkan lukisan di tanganku ini.Semua sekali ada 5 dan aku telah pun siapkan 3.Bermakna 2 lagi mestiku siapkan.Sejak dulu memang aku gemar melukis.Meskipun lukisanku tidaklah setaraf dengan Leonardo Da Vinci tetapi aku puas dengan hasil kreativitiku.

   Minggu lalu aku didatangi seseorang yang memintaku melukiskan 5 buah lukisan. Katanya lukisanku akan digunakan sebagai bahan bantu mengajar di kelas.Aku seronok tidak terkira kerana memang aku sangat gemar melukis.Aku juga teruja kerana aku sangat menghormati orang yang memintaku melukis 5 buah lukisan itu.

   Penat melukis, aku larikan sebentar mataku dengan melihat pandangan hijau luas mata memandang di luar jendela kamar tidurku.Namun sedetik cuma kerana fikiranku masih tetap pada lukisanku yang telah pun hampir siap.Aku berdebar-debar.Seronok kerana aku sendiri berpuas hati dengan hasil lukisanku.Ahh...harap-harap lukisanku memuaskan hati si guru yang juga jiranku.


  Tepat jam 2.07 petang, 12 Disember 1981, kelima-lima lukisan dapat ku siapkan.Ku tatap lukisanku puas.Aku bersyukur atas anugerah Allah akan bakatku yang kian hari ku gilap.Petang hari yang sama, sebelum asar, dengan senyum di bibir ku serahkan kelima-lima lukisan kepada si guru jiranku.Sebenarnya aku tidak pernah membayangkan untuk menerima upah kerana aku berbesar hati menolong seseorang yang amat aku hormati.Namun RM5 yang dihulur padaku benar-benar membuat hatiku berbunga riang.Besar nilainya bagi anak kampung yang baru 12 tahun mengenal dunia.


    September 2010 : Not RM5 di tangan terus ku tatap.Entah mengapa tiba-tiba aku teringat 5 lukisan yang pernah ku siapkan dan kenangan RM5 yang kuterima.Dan tentunya guru dan juga jiranku yang takkan pernah ku lupakan ; Allahyarham Ustaz Medon bin Jambak.Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat.Amin...Segala jasa baik allahyarham hanya Allah yang dapat membalasnya.(Not RM5 masih tetap di tangan )

0 comments:

Post a Comment