Friday, September 17, 2010

Ayuhai kenangan!Datanglah kau dalam lenaku.....

   Hari ini, 17 September 2010.Entah mengapa sehari dua ni aku sering teringatkan kenangan di zaman persekolahan.Pendidikanku bermula dengan kelas tadika di kampungku.Oleh kerana kampungku hanyalah sebuah kampung kecil, maka kebanyakan teman sekelas adalah saudara maraku sendiri.

  Semasa di tadika, aku dan adikku yang muda setahun dariku belajar bersama-sama.Aku paling suka waktu bermain anak patung.Aku takkan melepaskan peluang memilih sebuah anak patung bergaun biru yang menjadi kegemaranku.Waktu itu manalah ada anak patung buatan kilang seperti Barbie.Yang ada hanyalah anak patung diperbuat daripada perca lebihan kain buatan guru tadikaku sendiri yang juga sepupu ibuku.(Kini beliau bertugas sebagai seorang jururawat kanan di Hospital Sultan Ismail).

  Aku juga paling suka waktu makan terutama menu roti cicah sup ayam.Sesudah makan dan berehat, kami sama-sama bermain 'belalang dan burung' atau pun 'tembak rusa'.Aku juga suka bermain 'nenek kebayan'.Selalunya  akulah yang menjadi nenek kebayan.Satu-satunya permainan yang tidak aku sukai adalah   'kejar dan tangkap'.Aku lupa nama permainan tersebut.Setiap kali permainan akan dimulakan aku akan mencari alasan agar aku dikecualikan.Sakit perut dan pening kepala adalah antara alasanku yang paling selalu ku berikan.Sebenarnya aku tak suka permainan ala-ala ganas kerana aku takut.Apatah lagi dengan adanya seorang teman sekelasku yang juga sepupu ibuku.Selalu sangat aku menjadi sasaran usikannya.


  Setelah setahun di kelas tadika, aku berjaya menamatkan pengajianku dengan jayanya.Untuk majlis penganugerahan sijil, ibu telah membelikan sehelai gaun berwarna jingga muda yang amat cantik untukku.Buat adikku gaun yang sama tetapi berwarna kuning.Itulah satu-satunya gaun paling cantik yang aku miliki yang dibeli.Sebenarnya banyak juga pakaianku yang cantik tapi semuanya dibuat sendiri oleh ibuku.Maka pada hari yang ditetapkan aku pun menerima sijil pertama dalam hidupku.


   Menyentuh soal tadika, sebenarnya hingga kini aku masih tidak dapat melupakan seorang sahabatku yang sempat akrab sebelum dia bertukar.Aku masih ingat lagi rambut paras bahunya yang ikal dan senyum manis yang tak pernah lekang dari bibirnya.Aku juga masih dapat bayangkan gaun lengan panjang berkolar bulat yang sering dipakainya.Sejak pertukarannya ke daerah lain, hingga kini aku tidak pernah mendengar tentangnya.Apa yang aku ingat, abangnya bernama Ismadi dan temanku itu bernama Tutiyati.Alangkah inginnya aku mendengar khabarnya yang terkini.


   Ahhh.... Banyak lagi memori indah yang mungkin dapat ku kongsikan bersama.Buat sementara ku rehatkan dahulu netbook teman bisuku yang jelita agar dapat ku susun kata merantai kenangan di pertemuan yang akan datang.Semoga malam ini tidurku didatangi memori indah agar esok dapat ku luah.

0 comments:

Post a Comment