Selamat datang Aidil Fitri.Untuk kesekian kalinya Aidil Fitri datang lagi.Ramai yang teruja maka pelbagai persiapan dibuat agar kehadirannya menjadi satu memori indah yang bakal kekal dalam lipatan kenangan.Pun demikian, pasti ada yang resah menanti Aidil Fitri.Pakaian baru, kasut baru, kuih muih masih belum tersedia.Langsir baru, cat baru apatah lagi, jauh panggang dari api.
Di sana sini, iklan menunjukkan kemeriahan Aidil Fitri dipaparkan.Maka buat mereka yang kurang mampu, hanya dapat tumpang gembira.Untuk makan pun kais pagi makan pagi, kais petang makan petang mana kan mungkin berbelanja mewah untuk hari raya yang seketika cuma.Maka rasa sedih di hati takkan dapat turut dikongsi.Andai anak-anak memahami, ringanlah sedikit keresahan ditanggung.Andai anak-anak hanya tahu meminta, maka menangislah ibu dalam hati menanggung derita sendiri.
Walau di pihak mana pun kita, mewah atau susah, sambutlah Aidil Fitri dengan keinsafan dan kesederhanaan.Takkan hilang seri andai hidup mewah tetapi tidak bermegah-megah.Buat si isteri, janganlah dipaksa berbelanja lebih andai suami kurang mampu kerana di luar sana ada isteri yang terpaksa menanggung segalanya sendiri.Bersyukurlah dengan apa yang ada.Buat anak-anak, bersyukurlah dengan apa yang telah tersedia.Janganlah diminta apa yang di luar kemampuan ibu bapa.Semoga Aidil Fitri yang datang membawa cahaya kebahagiaan.
0 comments:
Post a Comment