Sunday, July 18, 2010

Bahasa menunjukkan bangsa.

   Selamat pagi semua.Hari ini pagi-pagi lagi aku rasa nak menulis.Masa masih lagi menjadi sahabat yang juga musuh.(Sahabat kerana  aku mesti segera menyiapkan semua tugasan.Musuh kerana masa tak pernah cukup buatku bagi menyelesaikan semua kerja).

   Hari ini juga aku ingin menulis lebih banyak menggunakan bahasa ibundaku.Terima kasih pada sahabat dan juga bakal sahabat serta anak-anak muridku yang mengingatkan bahawa aku ini Melayu maka menulislah dalam bahasa Melayu.Kalian 100% benar.Tetapi menulis dalam bahasa penjajah tidak akan mengurangkan seinci pun hakikat bahawa aku seorang Melayu dan sentiasa Melayu.Lagu-lagu?Ya, memang 100% di blog ini lagu penjajah tetapi status penjajah apa salahnya aku ubah sebagai guru (dalam konteks memberi lebih ilmu kerana ruang lingkup penuturnya lebih luas).Tetapi kalian jangan gundah kerana aku juga peminat fanatik lagu-lagu Melayu yang bagiku sangat indah.(Tunggu ye.Benarkan aku membereskan semua kerja sebelum aku menambah koleksi lagu Melayu ku)Sebelum ini pun aku telah membenarkan lagu Melayu berkumandang di blogku.Lagu Jamal Abdillah, lagu P.Ramlee..ahhhh indahnya membuai rasa.(Lagu-lagu baru?Maaf ye.Benarkan aku memilih dahulu kerana jarang yang membuatku selera)

   Maafkan aku andai bahasa penjajah yang banyak ku guna tak dapat kalian fahami dengan mudah.Aku masih belajar merangkak dan berdiri maka benarkanlah aku berekspresi dengan bahasa yang indah.Aku menulis, kalian membaca,proses terjadi hampir sama kerana kita sama-sama mengasah minda.Tetapi usahlah kalian resah.Ku cuba gunakan bahasa yang lebih indah.Ahhh...apa yang ku repekkan?

  Janganlah  kalian menuduhku lupa diri kerana bahasa ibunda tetap aku sanjungi.Aku tetap Melayu jasad dan minda.Jangan risau sambal belacan pun aku masih suka.Terkadang lucu ku rasa kerana ironinya aku kalian kata tak cukup Melayu sedangkan kalian yang lebih kerap mecampur adukkan kedua-dua bahasa.Tetapi tak mengapa kerana kita perlu saling mengingati kerana aku juga mudah lupa diri.Bagaimanapun izinkan aku berekspresi dengan bahasa ibundaku dan juga bahasa yang kononnya kalian benci kerana tetamuku tidak semuanya Melayu.Jangan jemu membaca catatanku kerana di sinilah aku mampu berkongsi rasa.Sama-samalah kita menjadi Melayu baru yang tetap sentisa Melayu tetapi bahasa ilmu jangan kita lupa.Semoga Melayu takkan pernah layu.Akhirnya ingin ku ulang kata-kata P.Ramlee seniman kita ; Bahasa menunjukkan bangsa.(Filem Seniman Bujang Lapuk)

p.s: Pakaian juga menunjukkan bangsa.

0 comments:

Post a Comment