Friday, July 23, 2010

Manusia = man ( manusia ) + sia-sia

Tendang, tampar bayi perempuan 5 bulan
Bapa jahiliah
(Harian Metro:Khamis,22 Julai 2010)

  Tajuk berita yang ku baca semalam, menjentik tangkai hatiku.Bangsa tidak disebut.Mungkin melayu,cina,india atau etnik Sabah dan Sarawak.Tetapi meski apa pun bangsa dan agama, tiada satu pun yang menghalalkan perbuatan mendera apa tah lagi terhadap bayi berumur 5 bulan.Jika benarlah, sebagai individu, jalan terdekat yang perlu kita lakukan adalah dengan mendidik anak-anak ( kandung atau anak didik di sekolah ) dengan ilmu agama atau moral agar ilmu yang diberi dapat menjadi benteng penghalang mereka dari melakukan kerja gila seperti mendera dan seumpamanya.

   Manusia semakin hilang kewarasan.Kes dera menjadi-jadi.Kes bunuh apatah lagi.Ayah menyaman anak ( jangan diletakkan kesalahan 100% pada si ayah),anak memukul dan memaki ibu dan sebagainya.Jika dulu institusi keluarga dilihat kukuh, kini semuanya semakin rapuh.Anak-anak harapkan ibu bapa sebagai pendidik tetapi kini ramai ibu bapa yang hanya ibu atau bapa pada nama.Anak-anak mengharapkan guru, tetapi malangnya ada segelintir guru yang mengajar murid kencing berlari.Maka hanyutlah anak-anak dan terbina sikap jelik dalam diri.

   Manusia juga telah berubah makna dari makhluk terbaik kepada makhluk paling hina.Otak diberi seolah-olah hanya sebagai perhiasan dek kerapnya manusia hilang pertimbangan.Melayu semakin layu.Buktinya banyak kes-kes memualkan yang akhbar paparkan.Agama dijunjung adat dikelek tidak lagi jadi amalan.Mana tahu, mungkin, generasi baru mendengar pun tidak pernah akan pepatah yang diberi.Hasilnya manusia jadi pendera, perogol, pembunuh, penipu dan entah apa-apa lagi.

   Jika dahulu cukup hidup ala kadar sekadar cukup makan pakai.Tetapi kini siang malam duit dikejar.Kerja sepenuh masa duit sentiasa tiada maka kerja tambahan jadi kemestian.Akibatnya masa untuk anak-anak, untuk keluarga semakin kurang. Bila jumpa asyik nak berperang.Ada anak bukan disayang tetapi jadi tempat tendang terajang.Ada bapa, ada ibu dianggap pengganggu.Biarlah jika benar di masa muda ibu atau ayah berbuat salah, takkan anak juga perlu salah tingkah?Bapa borek anak rintik; dalam kehidupan tak usahlah dipraktik.Apalah salah tuba dibalas susu agar anak-anak pula mendapat madu.Jika terus dibalas tuba, takut nanti anak-anak memberi hempedu.


   Terkadang terasa memualkan kerana pemimpin asyik bertelagah hal politik.Rakyat biasa sinonim dengan kes-kes hina seperti membunuh dan mendera.Isu di sekolah juga dipolitikkan hingga sesiapa pun juga dengan bangga memberi pendapat tentang isu pendidikan biarpun pendapat diberi hanya membuka aib sendiri.Ulama dan mufti pun mula tak satu hati maka yang luka akan mula menanah, kepincangan sosial semakin parah.Jangan sampai nanti manusia hanya jadi MAKHLUK SIA-SIA.

p.s:Jika benar bayi 5 bulan ditendang, ditampar,dipukul, ditumbuk seperti dilaporkan, akibatnya tentu parah.Tetapi laporan diberi, bayi berkenaan hanya dimasukkan ke wad selama 4 hari.(Tiba-tiba rasa sangsi dalam hati; sahihkah berita dipapar atau cuma rekaan belaka)   


0 comments:

Post a Comment