Sunday, October 3, 2010

Cerita orang lama buat orang baru

Televisyen lama dengan penutup kayu seperti yang ku tonton di kedai cina 30 tahun lalu
Radio lama dengan tape player
Go to fullsize image
Pemain piring hitam  yang pernah jadi kesayangan ayah

Wayang pacak 








   Wayang pacak?Apa tu teacher?" Melopong mulut anak-anak didikku mendengar istilah yang amat asing buat mereka.Mereka tidak tahu istilah itu amat popular suatu waktu dahulu.Apabila ada van penerangan datang ke kampung dan pengumuman dibuat tentang akan ditayangkan wayang pacak pada malam itu, maka mekarlah senyuman di bibir anak-anak desa. Hati berbunga riang kerana itulah peluang menghibur hati setelah seharian bekerja.Aku sendiri amat teruja menonton wayang pacak.Masih kukuh di ingatan tayangan berkaitan kempen menjaga kesihatan : Seorang lelaki mencangkul tanah dan membuang hajat di situ.Sesudah itu lelaki tersebut menimbus tanah kembali.Digambarkan juga keadaannya yang tidak berkasut.Seketika kemudian digambarkan seolah-olah cacing-cacing kerawit dari tanah yang telah diberi 'baja' oleh lelaki berkenaan, masuk menembusi tapak kakinya yang tidak beralas.Cacing juga masuk melalui  tangannya yang tidak berbasuh.Penggunaan sabun amat ditekankan.Simple sahaja mesej yang disampaikan namun kesannya amat mendalam bagiku, seorang anak desa.Maka jadilah aku seorang yang sentiasa mementingkan kebersihan hinggakan merah telingaku dipiat oleh emak kerana membasuh ikan dengan sabun!

   Selain wayang pacak, hiburan waktu itu adalah mendengar radio siaran Singapura.Aku gila mendengar  bangsawan hinggakan setiap kali ia ke udara, kami anak beranak duduk mengelilingi radio dan lupa akan dunia.Aku masih rindukan suara Jahlelawati selaku pontianak atau nenek kebayan.Hilai nyaringnya tak pernah kutemukan dalam pontianak-pontianak jelita yang ada.Aku juga masih terdengar-dengar suara jantan Mohd Safri A.Manaf selaku jin atau gergasi yang boleh membuatku mati berdiri!Aku sangat rindu mendengar syair-syair merdu dan bahasa lama dan istana yang amat indah di telinga.Ah...Alangkah rindunya aku pada waktu itu!Dengan radio lama ayah jugalah aku berulang-ulang mendengar kaset nyanyian Search semasa aku di tingkatan lima hinggalah insiden kasetku dibuang oleh emak kerana imej Search yang boleh membuat orang mengandung terberanak!(Kata emak)

   Emm....apa lagi ye!Oh ya!Hiburan waktu itu juga bermakna mendengar lawak jenaka Atan dan datuknya yang dipersembahkan oleh Jamali Shadat (sekarang Dato').Aku tak ingat dari mana ayah membeli piring hitam lawak jenaka yang amat aku gemari itu tetapi akulah yang paling kerap memainkannya menggunakan pemain piring hitam berjarum yang waktu itu ku  anggap antara keajaiban dunia terhebat.Sampai saat ini aku masih lagi ingat aku membaling kakak sulungku dengan buku kerana mengubah kedudukan jarum di piring hitam hingga suara yang keluar bukan suara Atan dan datuknya tetapi suara ngauman singa!Aku juga pernah memberikan sebiji mempelam ranum yang harum milikku kepada kakak keduaku agar aku diberi lebih peluang berdampingan dengan pemain piring hitam itu(Mempelam itu diberi oleh ibu setelah gugur dari pohon di belakang rumah.Ia sesuatu yang mewah kerana bukan mudah kami merasai kelazatannya yang tak mampu kami beli)

   Sewaktu ayah belum mampu membeli televisyen hitam putih menggunakan bateri, aku sering juga mengikut makcikku ke kedai cina di hujung kampung.Dengan membayar sepuluh sen seorang, kami boleh menonton sepanjang malam.Dengan duduk di atas peti air lamnit yang ditegakkan, asyiklah kami menonton sambil mengunyah kuaci.Slot paling popular adalah tayangan gambar yang ke udara setiap hari sabtu selepas rancangan 'Peristiwa'.Filem paling popular tentulah karya Tan Sri P.Ramlee.Dengan bertemankan obor yang dibuat daripada pelepah kelapa, kami tak pernah gagal menonton biarpun setelah insiden dikejar 'hantu lampu' yang tak pernah aku lupa.("Best tu teacher!Ceritalah juga pasal hantu tu?" "Yang tu teacher cerita waktu lain, ye.Tema kali ni tentang hiburan zaman dulu.Biar teacher habiskan cerita dulu")

   "Dah dekat waktu perhimpunan ni.Kena ke dewan dulu.Esok teacher cerita lagi.Kalau nak dengar, datanglah awal sikit ke sekolah"
"Alaa.......Sikit lagi.5 minit lagi!"
"Hiss!Mana boleh!Tu En Azmir dah datang bawa rotan tu.Nanti dapat slip penalti pulak.Teacher janji bila ada masa teacher cerita lagi"
"Cerita yang teacher nak mati makan belangkas tu jangan lupa!"
"Ok,ok!Selamat belajar"

   Dengan ala..... yang masih kedengaran anak-anak didikku mulai melangkah pergi.
"Ah .... anak-anakku!Betapa dunia terlalu baik buatmu meski pun kau lahir bukanlah di dalam dulang emas namun erti susah hanya kau tahu dari cerita orang lama sepertiku..."
   

0 comments:

Post a Comment