Saturday, October 30, 2010

" Hai ya!Nyangan makan itu kotor punya!"


" Abang!Aku lapar!"
"Ntar ya dek.Aku ambilin kuenya"
   
   Dialog yang pernah ku dengar antara seorang kanak-kanak lelaki berumur lebih kurang 9 tahun dan adiknya seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 atau 6 tahun.Keduanya mungkin warga Indonesia berdasarkan dialek pertuturan mereka.

   Waktu itu, aku berdiri di hujung sebatang lorong di belakang sebuah kedai kek.Kedua-duanya kelihatan amat lemah seolah-olah telah lama tidak makan.Si abang hanya berkemeja lusuh dengan seluar pendek dan rambut yang panjang.Manakala si adik bergaun gedoboh dengan kasut tumit tinggi yang entah dari mana didapati.Aku berniat untuk memberikan roti di tangan yang baru ku beli.Tiba-tiba ku lihat, si abang mengaut sisa-sisa ising kek di dalam longkang dan disuakan pada si adik.Tanpa teragak-agak, si adik menyuap ising yang telah tidak tentu warnanya ke mulut dengan lahap.

   Aku terkedu.Roti di tangan tak jadi ku berikan.Penderitaan 2 beradik membuat aku rasa pilu.Aku tahu jika tidak kerana terdesak, takkan mungkin mereka menjamah makanan tercemar menjijikkan.Bau longkang saja boleh membuat aku loya!

" Hai ya!Nyangan makan itu kotor punya!"
"Ini loti sama kek lu lua olang makan!"
"Ini luit lu simpan kasi lu punya mak  "

   Seorang nyonya tua menggeleng-gelengkan kepala sambil menghulur satu bungkusan.Aku yang melihat masih juga terkedu, kaku.Tak dapat ku gambarkan perasaanku saat itu.Meskipun kedua kanak-kanak itu bukan warga Malaysia, namun mereka manusia juga.Keduanya berlalu pergi dengan senyum mungkin berbunga di hati.

"Wa kasihan sama itu bulak lua olang"
"Hali-hali lia punya pak kasi pukui"
"Ala mak tapi manyak sakit"

   Barulah aku tahu.Rupa-rupanya kanak-kanak berdua itulah yang pernah dikatakan oleh temanku.Si bapa sihat walafiat tapi kaki botol dan kaki pukul.Manakala si ibu, dek kerana tekanan yang terbeban, sering sakit-sakit.Rumah mereka di mana, tidak pula aku pasti. JKM tak dapat nak membantu mungkin kerana mereka bukan warganegara.Hanya simpati masyarakat seperti nyonya tua itulah harapan kelangsungan hidup mereka.
Dalam hati terdetik, betapa beruntungnya anak-anak didikku kerana lahir di bumi bertuah.


1 comments:

Unknown said...

syukur dduk kt malaysia. :)

Post a Comment