Friday, October 15, 2010

Kaulah pujaan hatiku selamanya ....

Kaulah pujaan hatiku  *wink*

   Tiba-tiba aku teringat pada wajah di atas.Bagi mereka yang kenal, tak perlulah aku perkenalkan.Buat anak-anak didikku yang mungkin tak tahu, itulah pujaan hatiku suatu waktu dahulu.Kisahnya telah lama berlalu namun hingga kini masih sukar ku lupa.

   Seperti anak-anak remaja ( atau awal remaja ) yang lain aku juga pernah tergila-gilakan jejaka seorang ini.Kebetulan aku hebat ( sekarang kurang kerana aku jarang melukis lagi ) melukis maka berlambak-lambak wajah jejaka idaman ku lukis.Seolah-olah pejam mata pun aku mampu melukis wajah kacaknya.Pantang ada sesiapa mengutuk jejaka kacak kaya tahi lalat yang ku puja, maka akan panjanglah muncungku waktu itu.

   Suatu hari, seperti biasa, ku isi masa senggangku dengan melukis wajah tampan teruna pujaan.Kanan kiri tak ku peduli lagi.Tiba-tiba, seseorang menumpahkan air kopi hitam pekat betul-betul ke wajah jejaka tampan bertahi lalat.Maka mengamuklah aku lalu ku kejar si ceroboh ( pinjam bahasa Indonesia ye kerana kita kan serumpun )adik lelaki yang tersengih-sengih berdiri.Kurang asam punya budak!Dengan kuasa sekuat Honda Accord (agaknya kerana aku tak mahir tentang kereta ).ku kejar keliling rumah.Mulutku umpama mesin gan mengeluarkan peluru.Airmata jangan dikata.Jika disukat penuh satu tin susu pekat.

   Tiba di pohon durian di tepi rumah, gurau senda buat adikku jadi tak seronok lagi.Lalu diambilnya pasu  bunga dan dibalingnya padaku arah kepala.Nasib baik aku sempat mengelak kalau tidak tentu aku nazak.Emak melihat apatah lagi lebih hebat dari mesin gan baru dibeli.Telingaku juga yang jadi mangsa,dipiat oleh emak hanya kerana aku seorang kakak.Selepas kejadian itu, aku merajuk lama tidak melukis.Namun wajah si kacak terus memanggil-manggil lalu aku pun melukis kembali.

Kau masih tetap pujaan hati *wink lagi *

   Setelah puluhan tahun berlalu, masa sentiasa cemburu padaku.Melukis hanya dalam mimpi meskipun minatku masih seperti dulu.Si jejaka tampan dengan tahi lalat yang menawan, hingga kini tetap jadi pujaan hatiku meski pun wajahnya tidak lagi setampan dulu.AMAN SHAH - suatu nama yang mengingatkanku pada zaman remaja ( atau awal remaja ku ) yang indah.Gilaku pada Aman Shah mungkin sama seperti anak-anak didikku yang gilakan Justin Bieber meskipun padaku bakatnya biasa-biasa saja.Buat Aman Shah pujaan hatiku, meski kau tidak lagi seaktif dulu, suaramu yang merdu sentiasa dalam ingatanku.



1 comments:

yahaya said...

dulu penyanyi sekarang berlakon.Pada masa zaman kegemilangan dia adalah antara artis yg handsome dengan gaya rambutnya.

Post a Comment