Kerak nasi yang pernah menduduki kedudukan pertama carta makanan kegemaranku |
Beginilah lebih kurang dapur kayu tempat emak memasak suatu waktu dahulu |
Hobiku dulu adalah menyusun kayu api begini.Ia memerlukan kemahiran dan kesabaran |
Cendawan kukur yang padaku amatlah enak |
Cendawan kukur masak lemak yang hingga detik ini masihku terasa akan kelazatannya |
Aku tak pernah anti pada makanan popular ini,tapi tekak orang kampungku selalu menolaknya |
Sekali pandang seperti buah nangka atau buah sukun tetapi inilah buah keluih yang menghasilkan biji yang amat enak buatku ketika kecil dahulu "Mak, adik nak beli Spicy Chicken McDeluxe!" "Ha?Apa benda tu,KFC baru ke? "Ala mak ni!Spicy Chicken McDeluxe pun tak tau" "Betul mak tak tau ni. Sabun Lux mak taulah" Itulah antara dialog seorang anak, gadis muda berusia 14 tahun dan ibunya, wanita awal 40an.Mungkin kedengaran biasa tetapi itulah kenyataan.Remaja dan anak muda kini lebih kenal dan senang menyebut pelbagai nama makanan berjenama luar negara.Lazat tidaklah seberapa tetapi glamournya semua orang suka. Mungkin aku mulai menapak ke usia emas, maka nama-nama pelik makanan luar negara hanya buatku lemas.Sewaktu aku kecil dahulu, kerak nasi adalah antara makanan kegemaranku malahan pernah menjadi juara dalam carta diariku.Kerak nasi yang ku gemar bukanlah kerak nasi biasa tetapi dimasak dengan dapur kayu yang selalunya mengeluarkan asap hingga keluar airmata semasa memasaknya. Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana menanak nasi zaman dahulu. Maka akan ku ceritakan di pertemuan kita kali ini.Sebelum itu dengarkanlah seloka dariku ( atau teka-teki ) Cik Rah jolok Cik Tam Cik Tam jolok Cik Teh Cik Teh ketawa bek!bek!bek! Apakah jawapan kepada seloka teka-tekiku itu?Kalau anda ingin tahu, itulah proses menanak nasi sewaktu aku anak-anak dahulu.Cik Rah adalah api yang berwarna merah.Api menjolok maksudnya api di bawah periuk iaitu Cik Tam.Mengapa Cik Tam bukan Cik Yok?Ini adalah kerana Tam melambangkan warna hitam di periuk hasil dari memasak menggunakan kayu api.Cik Teh pula?Cik Teh adalah nasi yang sedang ditanak di dalam periuk.Bukankah warnanya putih oleh itu ia dipanggil Cik Teh.Cik Teh ketawa bek!bek!bek! maksudnya bunyi nasi yang sedang mendidih yang menghasilkan bunyi seolah-olah ketawa.Begitulah proses menanak nasi menggunakan dapur kayu zaman dahulu.Bila air nasi telah mulai kering, api dipadamkan dan yang tinggal hanya baranya sahaja.Selepas beberapa ketika, apabila nasi masak,ia perlu disenduk ke bekas lain segera untuk mengelakkan keraknya bersatu dengan nasi.Selepas nasi disenduk, kerak yang tinggal itulah menjadi snack kegemaranku kerana rasanya yang manis dan baunya yang wangi.(Ahh!Kini jarang kau ku temui lagi ) Untuk memasak menggunakan dapur kayu, bahan paling penting tentulah kayu api.Aku suka melihat ayah membelah kayu api yang masih basah.Kadang-kadang melompat-lompat aku kegelian apabila ulat sebesar kelingking anak kecil, terjulur keluar.(Lupa pula aku nama ulat yang gemuk dan nampak berisi penuh protein )Selesai ayah membelah kayu, tugasku adalah menyusunnya bersilang-silang agar kayu yang basah dapat kering dengan mudah.Kerja menyusun ini nampak tidak sesusah mana tetapi tanpa kemahiran, silap-silap runtuhlah dia.Paling aku ingat aku membaling adik lelakiku ( kini seorang pegawai tinggi di ibu kota )dengan kayu kerana sengaja meruntuhkan menara kayu apiku.Keletuk atas kepala dan hasilnya merah telingaku dipiat oleh emak yang marah. Selain kerak nasi, cendawan kukurlah yang paling aku suka.Emak selalu menyuruhku dan kakak mencari cendawan kukur di celah semak di atas batang getah yang tumbang.Berebut-rebut kami mengisi bekas yang emak beri.Sesekali aku menjerit marah apabila kakak melempar kumbang atau ulat yang memang aku pantang.Akibatnya aku menjerit sambil lari lintang-pukang.Tumpah semua cendawan kukur dan tidak lama kemudian emak muncul dan menarik telinga kakak yang sedang asyik tergelak.Kenangan indah zaman anak-anak yang tak mungkin ku temui lagi. Makanan ketiga yang paling aku suka adalah biji keluih, yang dihasilkan oleh buah yang seakan-akan buah sukun.Tetapi kenangan tentang biji keluih tenggelam timbul dan tak mampu aku ceritakan dengan jelas.Cuma ku ingat, biji keluih aku kumpul dari buahnya yang telah gugur.Lalu ku rebus dan ku jamu dengan berselera bersama-sama.Entah bila akan ku rasa keenakan biji keluih ini lagi. Ahh!Jika dikenang kisah silam, hingga pagi pun aku masih di sini menulis kenangan yang tak pernah ku relakan pergi.Andai berkesempatan, akan ku tulis lagi kisah-kisah silam untuk ku kongsi.Tiba-tiba... "Mak,jadi tak nak pergi Mc D ni? Adik nak makan Spicy Chicken McDeluxe!Mak nak makan apa?" "Sekejap lagi kita pergilah.Mak nak makan kerak nasi dengan cendawan kukur masak lemak.Ada tak?" "Emak!!!!" (Si ibu hanya tersengih dan seronok kerana berjaya menyakat si anak) |
0 comments:
Post a Comment