Sunday, October 3, 2010

Tragedi belangkas dan gula-gula Hacks

Telur belangkas bakar yang pernah jadi kegemaranku tetapi kini baunya pun tak mampu ku hidu

Dari pandangan atas rupanya seperti kapal angkasa.
Siput kima, pemegang watak sampingan dalam kisahku kali ini
Belangkas terbalik yang lucu seolah-olah membuat  aksi gimnastik

Gula-gula Hacks, watak penting selain sang belangkas

   Seperti yang ku janjikan, kini tibalah masanya untukku ceritakan tragedi belangkas yang hampir meragut nyawaku.Kisah ini benar-benar terjadi 30 tahun dahulu, di sebuah desa terpencil.



   Petang itu, ayah pulang dari berkarang.Pelbagai hasil laut yang ayah punggah; ketam, ikan, udang, kima dan wow! kegemaranku, dua ekor belangkas!Dengan segera belangkas-belangkas itu ku ambil dan aku tunjukkan pada emak."Ada telur ni!" kata emak.Apa lagi, berbunga rianglah aku adik-beradik.Telah terbayang betapa lazatnya telur belangkas bakar yang kuning keemasan.Fuh!Kecur air liur!

   Setelah belangkas dua ekor itu emak bersihkan, emak letakkan keduanya di atas bara.Tidak lama kemudian, bau harum belangkas bakar memenuhi ruang dapur rumahku,ruang kecil dilengkapi dapur kayu dan pinggan mangkuk serta periuk belanga ala kadar.Hari itu, kami makan malam awal kerana kami bercadang untuk pergi menonton tayangan gambar di kedai Cina.Jika lewat, penuhlah kedai dan tak dapatlah kami menonton dengan selesa.

   Segenggam demi segenggam, telur belangkas aku makan.Lazat sungguh!Isinya ku jamah juga tetapi apalah lebihnya isi jika dibandingkan dengan telurnya.Dua tiga kali aku sendawa kekenyangan.Emak pun dua tiga kali menjeling ke arahku seolah-olah memberi amaran agar aku berhenti makan.Setelah aku betul-betul puas, barulah aku berhenti.Adik-beradik yang lain ku lihat berselera juga tetapi mereka lebih gemarkan isi.

   Selepas solat maghrib, aku adik-beradik bersama makcikku, Cik Nah, mula berjalan ke kedai Cina untuk menonton tayangan.Ramai juga ku lihat orang kampungku malam itu yang turut menuju destinasi yang sama.Sepatutnya aku riang tetapi entah mengapa malam itu ku rasakan kepalaku berdenyut-denyut dan terasa sesuatu bergelodak dalam perut.Jarak 1 kilometer ku rasakan seolah-olah terlampau jauh jaraknya.

   Tiba di kedai, Cik Nah membeli gula-gula Hacks.Menyangkakan  sakitku akan lega dengan mengulum gula-gula,sebiji demi sebiji aku makan.Setelah habis 4 biji, aku rasakan mataku berpinar-pinar.Perutku seolah-olah diasak sesuatu.Dadaku terasa dihimpit seketul batu.Aku benar-benar susah bernafas seolah-olah hidung dan mulutku disumbat sesuatu.Tiba-tiba, wekkkk....... aku muntah sebanyak-banyaknya,Habis segala isi perutku  ku luah.

   Oleh kerana keadaanku yang agak teruk, aku dihantar pulang oleh tauke Cina tempatku menonton menaiki van miliknya.Aku tidak sedarkan diri lagi.Keesokan harinya barulah aku membuka mata.Apa yang berlaku seolah-olah suatu mimpi.Aku dengar emak meleteri ayah kerana membiarkanku makan telur belangkas bakar dalam jumlah yang besar.Ditambah pula dengan gula-gula Hacks yang kata emak makin membuatku nazak.Teruk ayah dan Cik Nah dileteri oleh emak.

   Mulai dari hari itu, jangankan makan telur belangkas bakar, baunya saja boleh membuatkan aku loya.Hingga kini tak pernah lagi aku menjamahnya meskipun berpuluh tahun telah berlalu seolah-olah seleraku terus mati.Tapi hingga kini aku masih lagi gemar melihat belangkas terbalik dengan kesemua kakinya ke atas, sesuatu yang masih lagi ku rasakan lucu.Aku tak tahu bila seleraku akan ada untuk menjamah telur belangkas yang masih lagi menjadi kegemaran ayah dan emak.

1 comments:

budakhitam said...

1st time tgok belangkas yg btol2 belangkas!!! heheheh like3

Post a Comment