Sunday, October 10, 2010

Sepanjang jalan kenangan



   Ramai sungguh yang memilih hari ini untuk bersatu menjadi suami isteri.Tarikh 10.10.10 memang cantik tetapi janganlah disalah anggap sebagai tarikh keramat.Aku juga memenuhi 2 undangan perkahwinan hari ini.Undangan pertama daripada seseorang yang pernah tinggal di kampung yang berjiran dengan kampungku.Selepas projek pembangunan perindustrian menggantikan kampungku yang aman, amat jarang aku menjejakkan kaki ke sini.

  Sepanjang jalan menuju ke kampung berkenaan seolah-olah jalan kenangan buatku.Aku takkan pernah lupa tempat ayah menjala waktu aku kecil dahulu.Meski pun kiri kanan jalan seolah-olah telah bertukar menjadi belukar, momen indah suatu waktu dahulu masih terpahat dalam kalbu.Di kiri kanan jalan yang dipenuhi air masin laut itulah teman-temanku ke sekolah dengan mengayuh perahu andainya air pasang besar dan jalan darat tidak dapat digunakan.


Tempat ayah pernah menjala
   Aku juga takkan pernah lupa teman-teman sepermainan dari kampung yang sama.Oleh kerana kunjunganku hanya seketika, hanya seorang dua yang dapat ku temui.Aku masih seperti dulu namun mereka bertukar malu-malu.Aku hanya seorang guru biasa bukan puteri seorang anak raja.Sewaktu aku sedang asyik menikmati makanan enak, nasi impit dan kuah kacang ( sesuatu yang baru untuk sebuah majlis perkahwinan),ku lihat seorang gadis muda tersenyum-senyum memandang dengan seorang anak comel di dukungan.Senyumnya ku balas kembali dan dia datang merapati.Rupa-rupanya dia adalah muridku yang terawal.meski pun masih terlalu muda telah dewasa menjadi seorang isteri.


Rumah pengantin yang ku kunjungi, betul-betul selepas jambatan ini.Jambatan kenangan tempatku memerhati si kaki pancing bercakap sendiri dengan ikan waktu aku kecil dahulu



   Undangan kedua ku terima daripada seorang kenalan juga dari sebuah kampung yang berjiran dengan kampungku dulu.Agak jauh di pedalaman dengan pemandangan hijau kiri dan kanan.Namun arus kemajuan sampai juga ke sini kerana rata-rata anak-anak apatah lagi orang dewasa, seorang satu telefon bimbit di tangan.Sibuk sungguh mereka kerana tak lepas jari menaip sms barangkali.


Jalan menuju kampung undangan perkahwinan yang kedua.Tersusun, bersih dan kemas meskipun hanya sebuah desa biasa


   Pun demikian, adat lama tetap tidak dilupakan.Telah bertahun-tahun cenderamata atau bunga telur yang ku terima biasanya berbau moden kerana pelbagai fesyen dijual di kedai.Namun di sini, bunga telur yang ku terima amat istimewa sekali hasil tangan ibu pengantin barangkali.Bunga telur berwarna garang dikait mungkin penuh kasih sayang kerana bukan mudah menyiapkan bukan satu tetapi beribu-ribu.


Bunga telur istimewa dikait daripada benang bulu

   Kunjungan seketika namun amat besar ertinya.Biar jauh aku pergi, kampung halaman tetap di hati.


0 comments:

Post a Comment