Kantin Jual Kuih

Warga sekolah

Jom singgah kantin!

Check me out

Sunday, October 31, 2010

Hanya Allah yang tahu ....


" Rupanya masih ada insan berhati emas di muka bumi ini"
"Kenapa awak cakap macam tu?"
"Selama ni susah untuk saya percayakan orang.Saya sangka semua orang tak jujur"

   Kata orang teman di waktu senang, ramai tetapi teman di waktu susah mungkin payah ditemui.Maka aku juga bersetuju dengan seorang teman yang asalnya amat payah menaruh kepercayaan pada sesiapa.Biar apa pun masalah yang dihadapi, semuanya disimpan sendiri.Andai masalah itu umpama Merapi, telah lama ia memuntahkan lahar menyimbah bumi.

   Kata orang juga, Allah takkan pernah memberikan ujian kepada mana-mana hambaNya melainkan Dia tahu hambaNya mampu menghadapi ujian yang diberi.Namun, bagi mereka yang diuji, hanya Allah yang tahu bagaimana sakit dan derita di hati.Betapa hanya Dia yang tahu bukan mudah mengawal diri.Bukan mudah berkongsi masalah kerana tak ramai orang yang sanggup menyimpan amanah.

  Hatiku simpati pada rakan yang memerlukan.Biarpun aku pernah ditipu dek kerana lurusnya hatiku, aku takkan pernah serik.Jika teman yang ku bantu tak mampu membalas dengan ikhlas, insyaAllah ganjaran dariNya akan ku terima di akhirat sana.Hanya satu doaku, biar siapa pun mereka, penderitaan takkan menjadi milik mereka selamanya kerana hanya mereka yang pernah menderita tahu betapa sakitnya menanggung derita .

Saturday, October 30, 2010

Saloma - Tunggu Sekejap

"Cik, saya nak harga 2 CD bukan RM5!"




   " Assalamualaikum!"
( Siapa pula datang petang-petang ni)
"Cik, nak beli CD!Derma untuk sekolah saya Madrasah **** "
"Maaflah.Rumah Cik takde CD player.Cik sedekah duit jelah ye!"
"Boleh tapi cik sedekah ikut harga CD ni ye.Kalau boleh 2 CD"
(Pulak!Aku rasa macam nak bagi kaunseling je!)

   Dialog di atas baru saja berlalu kira-kira setengah jam yang lalu.Sewaktu aku sedang asyik menatap Cik Lenovo unguku, aku dengar seseorang memberi salam.Hujung-hujung minggu begini, ada-ada saja jurujual datang nak kenal.Terlupa pula aku untuk memasang mangga di pagarku.


   Bila ku jenguk, ku dapati seorang kanak-kanak lelaki berpakaian lusuh dengan songkok yang mungkin tak pernah berbasuh, berdiri betul-betul di depan pintu rumahku.Di tangannya terdapat sebuah beg dan beberapa keping CD.CD dan beg itu pun ku lihat agak lusuh.Selalunya kanak-kanak yang meminta sedekah atas nama berniaga atau derma begini ku temui di kedai-kedai.Namun hari ini sampai pula ke depan pintu.Ku jenguk keluar dan ku lihat di hujung jalan kira-kira 6 meter dari rumahku, tedapat sebuah kereta Honda,berplat K, berwarna putih.Seorang lelaki separuh umur lengkap bertali leher sedang sibuk bergayut di telefon.


"Emak ayah kat mana?"
"Kat kampung di Kelantan"
"Habis tu, datang dengan siapa ni?"
"Tu!Ustaz dalam kereta putih tu!"



   Tiba-tiba aku rasa marah!Senang-senang ustaz tu duduk dalam kereta berhawa dingin.Sedangkan sikecil yang belum tahu apa-apa dibiar meminta-minta.Begini ke contoh pendidikan agama yang sepatutnya!Atas alasan kegiatan kokurikulum,kononnya padahal terang-terang memeras tenaga kanak-kanak bawah usia! 

"Nah!Ni Cik sedekah untuk awak!"
"Cik, saya nak harga 2 CD bukan RM5!"
"What!Kurang ajar punya budak!Kita beri ikhlas, pandai pula memintak-mintak."
"Dah,tak kuasa aku layan!"

   Lalu aku tinggalkan si anak hingusan dengan mulut masih merungut-rungut.Kalau beginilah didikan 'ustaz' rosaklah agamaku, dihina oranglah bangsaku.

"Tuan Haji ( Menteri Besar Kelantan yang konon tinggi ilmunya )!Nasib kanak-kanak dari negeri Tuan Haji yang diperas tenaga beginilah patutnya Tuan Haji ambil peduli, bukan politik yng tak boleh dibawa mati"



" Hai ya!Nyangan makan itu kotor punya!"


" Abang!Aku lapar!"
"Ntar ya dek.Aku ambilin kuenya"
   
   Dialog yang pernah ku dengar antara seorang kanak-kanak lelaki berumur lebih kurang 9 tahun dan adiknya seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 atau 6 tahun.Keduanya mungkin warga Indonesia berdasarkan dialek pertuturan mereka.

   Waktu itu, aku berdiri di hujung sebatang lorong di belakang sebuah kedai kek.Kedua-duanya kelihatan amat lemah seolah-olah telah lama tidak makan.Si abang hanya berkemeja lusuh dengan seluar pendek dan rambut yang panjang.Manakala si adik bergaun gedoboh dengan kasut tumit tinggi yang entah dari mana didapati.Aku berniat untuk memberikan roti di tangan yang baru ku beli.Tiba-tiba ku lihat, si abang mengaut sisa-sisa ising kek di dalam longkang dan disuakan pada si adik.Tanpa teragak-agak, si adik menyuap ising yang telah tidak tentu warnanya ke mulut dengan lahap.

   Aku terkedu.Roti di tangan tak jadi ku berikan.Penderitaan 2 beradik membuat aku rasa pilu.Aku tahu jika tidak kerana terdesak, takkan mungkin mereka menjamah makanan tercemar menjijikkan.Bau longkang saja boleh membuat aku loya!

" Hai ya!Nyangan makan itu kotor punya!"
"Ini loti sama kek lu lua olang makan!"
"Ini luit lu simpan kasi lu punya mak  "

   Seorang nyonya tua menggeleng-gelengkan kepala sambil menghulur satu bungkusan.Aku yang melihat masih juga terkedu, kaku.Tak dapat ku gambarkan perasaanku saat itu.Meskipun kedua kanak-kanak itu bukan warga Malaysia, namun mereka manusia juga.Keduanya berlalu pergi dengan senyum mungkin berbunga di hati.

"Wa kasihan sama itu bulak lua olang"
"Hali-hali lia punya pak kasi pukui"
"Ala mak tapi manyak sakit"

   Barulah aku tahu.Rupa-rupanya kanak-kanak berdua itulah yang pernah dikatakan oleh temanku.Si bapa sihat walafiat tapi kaki botol dan kaki pukul.Manakala si ibu, dek kerana tekanan yang terbeban, sering sakit-sakit.Rumah mereka di mana, tidak pula aku pasti. JKM tak dapat nak membantu mungkin kerana mereka bukan warganegara.Hanya simpati masyarakat seperti nyonya tua itulah harapan kelangsungan hidup mereka.
Dalam hati terdetik, betapa beruntungnya anak-anak didikku kerana lahir di bumi bertuah.


Di Manakan Ku Cari ganti

   29 Oktober 2010, jam 9.30 malam adalah detik yang ku tunggu-tunggu.Walau pun badan belum berapa sihat, aku gagahkan juga menonton Konsert Di Manakan Ku cari Ganti siaran Astro.Boleh tahan juga walau pun kebanyakannnya adalah penyanyi generasi baru.Aku terbuai dek dendangan merdu 'Tunggu Sekejap' oleh Hujan ( Kalau tak silap ). Jaclyn, Haziq dan Vince juga berjaya menggalas tugas diberi dengan baik. Begitu juga dengan Ning Baizura dan tentunya pujaan hatiku, Amy Search.


Petikan dari filem 'Do Re Mi'



   Walau bagaimanapun aku rasa sedikit terganggu dengan persembahan Misha Omar.Lagu 'Jeritan Batin'nya seolah-olah bertukar menjadi 'Jeritan Hantu'!Lagu asal yang melankolik dan amat meruntun jiwa menjadi entah apa-apa.Namun ini hanya pendapatku saja.Mungkin aku terlalu sebati dengan dendangan Tan Sri P.Ramlee maka dendangan Misha Omar amat janggal ku dengar!


Senyuman yang takkan pernah mati

   Selain dari itu, aku juga rasa kurang senang dengan cara Ella yang terlebih manja.Walau bagaimanapun lenggok suaranya masih mesra di telinga.Ratu rock menyanyi lagu lama, emmm....boleh tahan juga!

Najua Nadia Nasir P.Ramlee

   Dalam ramai-ramai penghibur di pentas konsert malam tadi, persembahan si gadis comel berbaju merah pemilik nama Najua Nadia Nasir inilah yang ku nanti-nanti.Ternyata bakat Tan Sri P.Ramlee mengalir di tubuh gadis ini.Meskipun Najua bukan gadis ideal berbadan Nasha Aziz berwajah Siti Nurhaliza, dia tetap punya tarikan tersendiri.Suaranya merdu dengan wajah manis yang tulus.Semoga kemunculannya bukan hanya di pentas ini semata-mata.


   Persembahan Sharifah Aini benar-benar membuatku kecewa.Suara merdu bak buluh perindu sewaktu waktu dahulu, tidak terdengar lagi.Lirik lagu pun rasanya tidak di hati maka terasa sesuatu yang kurang bila ku pandang.Sebagai penghibur dengan nama besar, seharusnya Sharifah Aini mempersiapkan diri, menghafal lirik lagu-lagu yang diberi.Mata asyik memandang ke bawah seolah-olah membaca lirik disedia.Contohi Jaclyn Victor menyanyi penuh yakin kerana lirik sebati di hati.


   Walau bagaimanapun, kesimpulannya, aku berpuas hati dengan persembahan dihidangkan.Meskipun aku tak mengenal P.Ramlee secara peribadi, lagunya, suaranya, senyumnya akan sentiasa di hati.Semoga rohnya sentiasa tenang di alam sana.

Filem 'Bujang Lapok' yang tak lapok dek hujan, tak lekang dek panas.















Thursday, October 28, 2010

Penghibur hatiku nan sayu


P.Ramlee, seniman agung penemanku malam ini

   Dua hari aku gagal melaksanakan tugas mengirim berita lewat alam siber.Malam ini meskipun keadaanku belum begitu memuaskan, ku gagahi juga untuk berkarya meskipun hanya sedetik cuma.Malam yang panjang dan sunyi buatku makin sepi.Lalu ku dengar dendangan suara seniman sepanjang zaman buat peneman malam sunyiku.

   Esok, ku harap mentari kan bersinar terang agar dapat aku teruskan kelopak-kelopak kehidupan untuk ku kongsi bersama.Buat malam ini, terimalah Getaran Jiwa'ku penghibur hati nan sayu.

Monday, October 25, 2010

Hatiku terluka lagi...

  " Kelas apa ni?"
"2***1,cikgu"
"Kelas ni kelas pandaikan jadi takkan tak tahu cara alih kerusi meja?"
"&*%^$"( Aku dan anak-anak didikku terkelu)
"Jangan diheret tapi angkat"
"Awak memalukan sekolah kerana buat bising"
*(&^%) (Aku dan anak didikku masih terkelu)

   Dialog di atas dipetik dari kejadian sebenar yang berlaku hari ini.Kejadian yang mengganggu emosiku dan mungkin juga emosi anak-anak didikku.Waktu itu, anak-anak didikku sedang tekun mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan.Waktu Pengawalan Guru itu ku isi sepenuhnya dengan membantu anak-anak didikku yang memerlukan bantuan.Sesi pengajaran secara personal atau ku gelar 'personal teaching' sedang ku jalankan dengan seorng anak didikku.Sementara anak-anakku yang lain mengulangkaji sendiri.

   Aku perasan sebelum itu, sebuah kelas tingkatan 1 yang kedudukannya bertentangan dengan kelas yang ku ajar, amat bising mengalahkan pasar.Tapi tak pula ku dengar bunyi seretan kerusi atau meja.Justeru, teguran ( atau sindiran ) yang diberi buat aku kecil hati.Anak-anak didikku apatah lagi.Bukan niatku untuk memuji, namun inilah kelas terbaik yang amat berdisiplin jadi mana mungkin anak-anak didikku berkelakuan begitu!

   Meskipun kejadian 'salah faham' itu berlaku petang tadi, emosiku masih tercalar hingga detik ini.Hatiku terluka yang tak tahu aku jelaskan bagaimana.Aku sedih meskipun orang lain menganggapnya remeh.Ku harap, anak-anak didikku emosinya takkan terus terganggu.Entah mengapa dalam hatiku berkata, "Tuan Haji Muhamad!Aku rindu!Alangkah bagusnya jika Tuan Haji di sini kerana teguran Tuan Haji sentisa lembut buat kami"

   Tuan haji Mohamad bin Yusof, mantan pengetua kami

Aku rindu...



   Entah mengapa hati terasa rindu yang amat sangat.Baru sehari ditinggal pergi terasa beribu tahun lamanya.Tidurku pun jadi terganggu dek rindu yang menggebu.Semasa hadirnya, tak pernah aku rasa rindu yang begini.Sayang?Tentulah aku sayang namun selama ini kesibukanku dengan kerja dan keluarga, membuatkan aku sering terlupa untuk melawatnya.


   Sewaktu waktu dahulu, dialah yang menghibur hati dukaku.Kisah-kisah Pak Pandir, dari dialah aku ketahui.Kisah-kisah lucu pengalamannya yang lalu, selalu menjadi teman sebelum tidurku.Aku jarang melihat dia marah.Susah atau payah, tak pernah dia menyerah.Semangatnya yang kuat buatku sentiasa hebat.Maka tanpa dirinya kini di sisi, membuat aku amat rindu.


   Meski apapun, doaku sentiasa mengiringi.Semoga dia sentiasa dirahmati.Biar jauh di mata namun tetap dekat di hati.Semoga ibadatmu, ayah diterima olehNya dan mendapat haji mabrur hendaknya.




Masjid Nabawi, tempat pertama ayah bersolat subuh sebaik tiba di tanah suci
Ayah yang ku rindu

Sunday, October 24, 2010

Serumpun sebangsa bersama

   Bangsa Melayu biar apapun sukunya, Jawa, Bugis, Bawean atau campuran, amat kaya dengan adat budaya serta adat resam.Masyarakat Jawa contohnya terkenal dengan kepelbagaian makanan tradisi yang kebanyakannya kini telah dikomersialkan.Contohnya tempe, rempeyek dan nasi ambeng.Namun terdapat sejenis lagi makanan istimewa di kalangan masyarakat Jawa iaitu bubur merah.

   Bubur ini bukanlah berwarna merah tetapi salah satu bahan membuatnya adalah gula merah ( yang juga tidak berwarna merah).Persediaan awal adalah memasak bubur nasi seperti biasa hanya ditambah beberapa helai pandan yang wangi.Setelah bubur masak, campurkan santan pekat dan sedikit garam.Asingkan 1/3 bahagian untuk menjadi 'kepala bubur' iaitu yang berwarna putih.Manakala 2/3 lagi dicampur dengan gula merah dan sedikit gula pasir.Cara menghidang adalah dengan meletakkan sedikit bahagian berwarna putih ke atas bahagian yang berwarna merah.

   Bubur ini sangat istimewa kerana hanya dihidangkan di majlis-majlis penting seperti majlis hari lahir atau pun menyambut kelahiran.Dipercayai kononnya mereka yang memakan bubur ini akan mendoakan kesejahteran si pembuat bubur.Oleh kerana rasanya yang manis, ia sangat sesuai sebagai hidangan pencuci mulut.Keistimewaannya masih terpelihara kerana ia takkan ditemui di bazar-bazar ramadhan.


Bubur Merah yang tak merah

 Selain bubur merah, nasi ambeng juga amat popular di kalangan masyarakat Jawa.Nasi ambeng dihidangkan semasa kenduri seperti kenduri arwah atau kenduri kesyukuran.Ia dihidangkan di atas dulang untuk 4 orang.Semasa zaman dahulu, nasi yang dihidang akan dijamah sedikit sahaja dan bakinya dibahagi sama rata dan bahagian masing-masing dibawa pulang.Ia juga dikenali sebagai nasi berkat.

   Nasi ambeng sebenarnya adalah nasi putih yang dihidang dengan pelbagai jenis lauk seperti mi goreng, sambal goreng, serunding, ikan masin ( yang paling popular adalah ikan bulu ayam),ayam masak kicap dan kadang kala ikan goreng.Nasi ambeng juga disertakan dengan kuih apam.Kepelbagaian lauk-pauk juga menyebabkan ia seimbang dari segi pemakanan.Kini nasi ambeng boleh didapati di mana-mana gerai di seluruh Malaysia.Ia menjadi pilihan kerana harganya yang murah.

Hidangan tradisi yang tetap popular hingga kini.

   Rempeyek juga salah satu makanan istimewa masyarakat Jawa.Ia adalah sejenis makanan ringan yang kaya dengan khasiat.Rempeyek dibuat menggunakan acuan khas.Ia memerlukan kemahiran untuk mempastikan rempeyek dihasilkan nipis dan rangup.Di atasnya ditabur kacang goreng dan ikan bilis.Bentuknya yang bulat membezakannya dengan tumpi iaitu makanan yang menggunakan bahan yang lebih kurang sama tetapi menggantikan kacang tanah dengan kacang hijau atau kacang dal dan dituangkan nipis di keliling kuali tanpa menggunakan acuan.Sama ada rempeyek atau tumpi kedua-duanya amat digemari.Namun seperkara perlu diingat : disebut ' REMPEYEK' bukan 'TEMPEYEK'
Kuih apam yang dihidang bersama nasi ambeng
Bubur candil lazat disedia istimewa di upacara turun tanah

Tumpi yang tak kurang lazat
Tempe goreng yang lazat

   Sama ada Melayu, Bugis, Bawean atau Jawa, kita adalah serumpun juga.Berkongsi budaya berkongsi citarasa agar hidup aman sentosa.

" 50 Bloggers Diperlukan"





Buat satu entri ringkas bertajuk "50 Bloggers Diperlukan" dan ceritakan kenapa anda mahu menyertai blogroll 100penulis.com. Jangan lupa selitkan link pengumuman ini juga :http://www.100penulis.com/2010/10/50-bloggers-diperlukan.html"


   Wow!Inilah peluang terbaik yang sekian lama ku tunggu.Bertanya pada orang, tak tahu pada siapa harus ku tanyakan. Maka berjalan-jalan malamlah aku saban malam tanpa bulan tanpa bintang (Dalam bilik lah maksudku )Sedang aku kegelisahan melihat traffikku yang kurang menggalakkan, aku terpandang entry seorang blogger yang benar-benar membuatku membuka mata. Inilah peluang yang ku nanti-nanti.Tanpa berlengah aku pun menerjah mencari arah agar jalan ku lalu tak sendiri lagi.

   
   Blogger aktif?Sudah tentu kalau tak percaya cuba bilang entry ku satu-satu.Lalu mengapa harus ku tunggu lagi?Aku juga mahu traffikku laju dan jem sekalipun tetap aku mahu.Moga-moga dengan sedikit ilmu yang ku miliki, tersenarai juga aku di 'blogger aktif'.Bukan aku tak sanggup berjalan saban hari dari rumah ke rumah namun bukankah dengan turut serta 'blogroll 100penulis.com. ' jaminan penuh pasti aku dapatkan?Aku juga ingin rumahku sentiasa meriah dengan lampu-lampu melimpah dek ramainya pengunjung datang berkunjung.Moga dengan kesediaanku menjadi sebahagian dari 'blogroll 100penulis.com.' rumahku akan sentiasa menjadi perhatian.

Friday, October 22, 2010

Semoga kalian berakal cerdik dan berakhlak cantik

   Hari ini adalah hari Jumaat.Bermakna hari ini aku mesti melengkapkan buku rekod mengajarku supaya dapatku hantar untuk semakan.Maka aku pun bertungkus-lumus menulis apa yang patut dan menampal apa yang perlu.

   Semalam waktu mengajarku hanyalah 2 waktu bersamaan dengan 1 jam.Maka aku meminta agar diberikan kelas-kelas relief agar dapat ku buat ulangkaji untuk peperiksaan.Hasilnya aku mendapat tambahan 3 waktu lagi untuk sesi pengajaran.Oleh kerana slip relief diterima semasa perhimpunan aku terus menyimpannya di poket beg tangan.

   Hari ini, slip-slip relief yang diterima mesti ku tampal di buku rekod mengajar.Selesai menampal 3 slip relief kelas p&p, aku pun sibuk mengemas isi beg tanganku. MasyaAlla!Aku benar-benar terlupa!Slip relief yang ku dapat sebenarnya bukan 3 tetapi 4 iaitu slip mengawas pelajar perempuan solat Asar!Biar sesibuk mana pun atau seletih manapun, aku takkan pernah sengaja ponteng mengawas solat kerana aku sedar sedetik kami para guru terleka, pelbagai kemungkinan boleh terjadi.

   Lalu ku telefon teman setugas yang turut mengawas sama.Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan anak-anak didikku dapat solat dengan sempurna.Bagi orang lain, ia mungkin hal remeh -temeh namun bagiku ia adalah amanah dan tugas yang wajib ku galas.Mudah-mudahan dengan niat ikhlas untuk mendidik, anak-anak didikku bukan saja cerdik tetapi berakhlak cantik.Mudah-mudahan juga aku tak dijangkiti penyakit lupa lagi.Semoga kesilapanku menggalas tugas semalam diampunkan olehNya.






Thursday, October 21, 2010

Ingat!Setitik saja!

   Loceng tamat waktu rehat baru saja berbunyi.Berduyun-duyun anak-anak didikku menuju ke kelas masing-masing.Seorang dua masih mengunyah sesuatu di mulut.Ada juga yang masih memegang roti yang telah separuh dimakan di tangan.Beberapa orang sedang bergilir-gilir minum dari sebiji gelas tanpa mengira bangsa atau kelas.(Semangat 1Malaysia anak-anak didikku amat tinggi rupanya.)

   Aku juga sedang bergegas ke kelas dengan beg di bahu ku galas.Tiba-tiba aku terhidu sesuatu yang amat kuat sekali.Bau yang ku hidu amat ku kenal kerana telah sebati dengan diriku berbulan lamanya.Ku teruskan juga langkah dan mula memanjat tangga.MasyaAllah!Hampir hilang nafasku dek kuatnya bau yang baru ku hidu.Andai tadi baunya amat ku kenal sekali namun bau yang satu ini tak pernah aku hidu.

   Ku toleh ke belakang dan ku lihat seorang anak didikku sedang asyik mengoles sesuatu ke baju.Ku rapati dan ku dapati rupa-rupanya hampir setengah botol dilumur.

" Yang!Sapu apa tu?"
" Minyak wangi!"
" Kenapa sampai habis sebotol?"
" Laa... Tak boleh ke teacher? "
" Meh!Teacher tengok!One Drop Perfume rupanya!"
" Setitik je dah wangi nak oii!"
" Laa... iyeke?Manalah saya tau!
"Botol dia punyalah kecil!"
"Mana awak beli?"
" Rembat mak saya punya!" 

   Dengan senyum kambing, anak didikku menggaru kepala yang tak gatal.Dalam hati aku senang hati kerana anak didikku tahu 'menjaga diri'.Tidaklah ku hidu bau hapak peluh atau bau hanyir ikan dimakan.Wangi melampau tak ku hirau kerana aku senang melihat wajah anak-anak didikku yang ceria.

" Ingat tu!Lain kali setitik je"
"Iyalah teacher"
" Lagi satu....Guna yang khas untuk lelaki."
" Ada juga ke?Alamak!Jadi po****lah saya teacher!"
" Ha!Ha!Ha!" Anak-anak yang lain riuh tertawa.


Inilah rupa One Drop Perfume yang ku pasti ramai peminatnya.




Wednesday, October 20, 2010


   Gunakanlah bahasa kebangsaan kita
Marilah amalkan ramai-ramai
Bahasalah menyatukan kita semua
Yakinlah bahasa jiwa bangsa

   Itulah antara bait-bait lirik lagu yang ku dengar setiap kali sekolah menyambut Minggu Bahasa.Namun aku rasa terlalu sedikit anak-anak didikku yang benar-benar faham makna 'bahasa jiwa bangsa.' Aku perhatikan mereka lebih gemar menggunakan ' bahasa remaja ' yang terkadang susah aku fahami.Aku faham jiwa remaja namun jika hilang terus bahasa ibunda siapa yang akan rugi akhirnya?Sedangkan anak-anak bukan bumiputera semakin mendahului menguasai bahasa yang sama.Buktinya ramai anak didikku berbangsa Melayu gagal mendapat A tetapi anak didikku bukan bumiputera tersenyum bangga dengan A untuk Bahasa Melayu.Gurukah yang bersalah atau anak didikku tidak berbahasa ibunda di rumah?

   Aku tahu ramai anak didikku berbangsa Melayu yang berbakat dalam penulisan.Namun hilanglah seri dan tiadalah erti andai bahasa yang diguna hanya difahami sendiri?Apalah salah bila menulis menggunakan bahasa yang manis warisan nenek moyang agar peninggalan ditinggal makin disayang.Tiada guna guru bersengkang mata merancang program Minggu Bahasa kiranya tiada langsung rasa cinta akan kelangsungan bahasa ibunda.
Tak malukah anak-anakku bangsa Melayu andai teman-temanmu yang bertanda di dahi lebih mahir berpantun, bergurindam seloka?

   Benar, aku bukan guru bahasa ( Bahasa Melayu ) namun aku sayang bahasa ibundaku.Aku sedih hatiku perih melihat bahasaku yang indah dicincang lumat seolah luka dalam yang tidak terubat.Berbahasa Inggeris kalian tepis, berbahasa Melayu kalian menangis.Bahasa pilihan bahasa remaja yang entah apa-apa dan takkan mampu membawamu ke mana-mana.Gunakanlah bahasa kebangsaan kita ( tentunya Bahasa Melayu).Mudah-mudahan jiwa bangsa jati dirimu takkan pernah mati.Untuk ilmu, kau galilah khazanah Bahasa Inggeris namun jangan sesekali kau lupa bahasa ibunda.Mudah-mudahan anak bangsa kita tetap ada jati diri buat selama-lamanya.

Tuesday, October 19, 2010

Aku sayang kamu



Biar siapa atau apa pun ibu itu, kasih pada anak tak akan pernah musnah
" Yang!Demam ke?"
" Saya sakit perut.Salah makan apa entah!"
" Nanti teacher ambilkan ubat."

   Itulah dialog antara aku dan seorang anak didikku.Seorang pelajar lelaki tingkatan 2 yang agak lembut sedikit tetapi sangat baik hati.Dengan segera ku ambil balsam panas dan ku berikan padanya.Sambil menggosok-gosok perut, anak didikku tak lepas memandang ke wajahku dengan muka sedikit berkerut.


"Awak ni kenapa?Pandang teacher macam bertahun tak jumpa.Perut awak makin sakit ke?"
"Taklah teacher!Saya peliklah.Minggu lepas kan teacher kata tak nak cakap dengan saya sebab saya tarik muncung panjang bila teacher tak bagi ke tandas!"
"Ye ke!Alamak!Teacher lupalah!"

   Tiba-tiba aku rasa gelihati sendiri.Langsung aku tidak teringat rajukku minggu lepas.Aku tak mampu menyimpan amarah dalam hati.Melihat aku tertawa, anak didikku ikut tertawa sama.Minggu lalu beria-ia dia menarik muncung panjang bila aku tak izinkan ke tandas.Bukan membuang hajat tetapi hanya membetulkan rambut katanya.Aku pula mengejarkan waktu kerana bimbang tak habis ulangkaji peperiksaan yang menanti.

"Maknanya teacher tak marahlah ni?"
"Macam mana nak marah sebab teacher geli hati teringat muncung awak panjang 4 inci"
" Ala.... teacher ni!Aduh...perut sakit lagi"
"Haa... lawan cakap teacher lagi tulah sakit Allah beri"
"Maaf teacher.Janji saya tak buat lagi"

( Anak didikku!Aku juga seperti ibumu yang tak mungkin menyimpan dendam kerana jauh di lubuk hati aku sayang anak didikku seperti anakku sendiri )


Ikan fenomena baru

"Teacher!Teacher!Saya jumpa!"
"Jumpa apa?"
"Ikan!Banyak sangat!"

   Aku musykil.Sekolahku bukan di tepi tasik atau sungai.Mana pula datangnya ikan?Memang sejak akhir-akhir ini hujan selalu turun.Mungkinkah ikan jatuh dari langit seperti yang pernah ku dengar?Jika benar, boleh jadi tajuk utama berita ni.TV3 pun tentu datang buat liputan.Satu Malaysia akan tau, 'SMK** dihujani ikan'

   Dengan rasa ingin tahu tahap pertama, anak didikku segera ku ekori. Termengah-mengah dia mempercepatkan langkah menuju lopak di tepi dewan."Ikan apalah agaknya" dalam hatiku berbicara.Beberapa orang pelajar lain juga mula berkerumun sama.Siapa tak ingin tahu penemuan ikan fenomena baru.

" Tu teacher!Ikan tu!"
"*&%^$" Aku tak dapat berkata-kata.
   
   Aku tergelak geli hati.  Beberapa orang pelajar senior mula gelak bagai nak rak.Kasihan anak didikku kerana masih terlalu cetek ilmu.Lalu ku rujuk pada seorang guru Sains agar perjelas sejelas-jelas. Anak didikku 'anak gedongan'( pinjam bahasa Indonesia) tak pernah jumpa 'ikan' yang pernah jadi mainan waktu aku kecil dulu.Hingga kini anak didikku, seorang pelajar India tingkatan 1, masih lagi tersenyum malu bila bertembung denganku.Tak apa, bukan salahmu kerana duniamu dan duniaku berbeza namun kau carilah ilmu di buku andai kau tak berpeluang menjadi seorang peneroka sepertiku dulu.

Inilah rupa 'ikan' yang dikatakan


Kitaran hidup 'ikan' yang diterangkan


      Aku seekor katak                

Monday, October 18, 2010

Siti Kelembai si Sang Gedembai


   Sang Kelembai merupakan makhluk ghaib yang menghuni hutan tertentu di beberapa tempat di Malaysia. Sesetengah tempat dipanggil Sang Gedembai.

   Sang Kelembai mempunyai kuasa sakti yang boleh menyumpah sesiapa sahaja menjadi batu. Sang Kelembai biasanya berada di dalam hutan dan pantang kepada bunyi bising ketika berada di dalam hutan. Jika Sang Kelembai tertarik dengan bunyi tersebut, Sang Kelembai akan menegur. Manusia atau binatang yang ditegur akan menjadi batu.

[sunting]
Asal usul Kampung Gajah

Pekan Kampung Gajah di Teluk IntanPerak mendapat nama daripada batu di kaki Bukit Tunggal yang menyerupai bentuk gajah. Kewujudan batu ini dikatakan kerana gajah yang banyak di situ telah membuat bising dan Sang Kelembai yang tidak suka dengan suasana bising, telah menegur gajah-gajah tersebut. Akibatnya gajah tersebut dikatakan menjadi batu.

   Namun demikian sehingga kini , tidak dapat dipastikan kedudukan sebenar batu yang menyerupai gajah di Bukit Tunggal itu.Dalam masyarakat orang Asli Semai di Kampung Gajah, jika mereka hendak memburu binatang di dalam hutan, sesiapa yang melaluinya tidak boleh sekali-kali menegur atau menyapa. Jika menegur juga, orang Asli tersebut akan kembali semula ke rumah dengan tangan kosong kerana beranggapan hasil buruan tidak akan dapat. Malahan mungkin akan ditegur oleh Sang Kelembai dan menjadi batu.

[sunting]
Kritikan

Masyarakat Melayu tradisional sering mengaitkan sesuatu penyakit atau kejadian dengan alasan yang tidak rasional.Contohnya bentuk batu-batu yang aneh bentuknya dan menyerupai manusia akan dikatakan telah 'ditegur' oleh Sang Kelembai akibat melanggar pantang. Masyarakat Melayu tradisional amat tidak gemar akan kanak-kanak yang suka bercakap banyak. Bagi mengunci mulut kanak-kanak ini yang petah bicara ini, barangkali cerita Sang Kelembai direka-reka.

   Peliknya sumpahan Sang Kelembai tidak pula menjadi emas atau benda-benda yang berharga lain. Hanya menjadi batu.Dalam filem Tenggang di Malaysia atau cerita Malim Kundang di AchehSumatera , Indonesia, saudagar Tenggang atau Malim Kundangdisumpah oleh batu oleh ibunya . Di Acheh memang wujud batu-batu di tepi laut yang menyerupai manusia yang sujud menyembah bumi dan tali-tali kapal .

   Orang Melayu keturunan Acheh memang ramai di tepi Sungai Perak, khususnya di Kampung Gajah dan Pasir SalakDialek Perak yang digunakan hampir-hampir menyerupai dialek Acheh. Pelakon dan pelawak terkenal dari Acheh yang bertutur menyerupai dialek Acheh ialah Benjamin S.Kepercayaan kepada sumpah boleh membawa kepada syirik dalam Islam.

Siti Kelembai kisah baru di TV3 adaptasi Sang kelembai

Let's have a break!