Tebing runtuh berbahaya KAMPUNG CAHAYA BARU – Keadaan tebing jalan runtuh akibat daripada mendapan tanah di Jalan Dahlia, Kampung Cahaya Baru semakin teruk, namun masih belum diambil tindakan pihak bertanggungjawab. Seorang penduduk, Wahab Abdullah sekali lagi menghubungi Sinar Harian meluahkan kebimbangan terhadap masalah tebing jalan yang semakin teruk. Menurutnya, keadaan tebing jalan terhakis sedikit demi sedikit sejak lebih dua bulan lalu bertambah teruk ekoran keadaan cuaca tidak menentu terutama hujan sejak kebelakangan ini. “Kami bimbang keadaan itu kerana berbahaya dan boleh mengancam keselamatan penduduk, terutama penunggang motosikal pada waktu malam. “Keadaan itu turut mengancam keselamatan anak-anak kami yang mengayuh basikal kerana seolah-olah seperti perangkap menunggu mangsa melihat keadaan parit bersebelahan yang agak dalam,” katanya. Wahab berkata, akibat mendapan tanah itu menyebabkan kabel elektrik bawah tanah mula timbul dan dikhuatiri membahayakan penduduk. Menurutnya, walaupun masih belum membabitkan kemalangan jiwa, tetapi tidak sepatutnya terus dibiarkan menjadi ancaman penduduk kerana sesiapa sahaja boleh terjatuh sekiranya tidak berhati-hati. “Kita rayu pihak bertanggungjawab supaya segera mencari jalan terbaik bagi mengelakkan tebing jalan itu terus runtuh supaya kami tidak lagi dibelenggu kebimbangan. “Kami harap pihak berwajib dapat bertindak sebelum terlambat kerana kami takut keadaan jalan yang semakin sempit itu mengundang tragedi yang boleh meragut nyawa,” katanya. Sinar Harian 4 November lalu menyiarkan keadaan tebing jalan runtuh mengancam keselamatan penduduk apabila pernah terjadi lori terjunam ke dalam parit sebaik berselisih dengan kenderaan lain di jalan yang mengalami tebing runtuh itu. Penduduk bertambah bimbang apabila lebih dua bulan keadaan itu masih terus dibiarkan tanpa diambil sebarang tindakan oleh pihak bertanggungjawab, sedangkan masalah itu semakin teruk. |
Sumber : Sinar Harian
Rasa-rasanya telah banyak kali berita atau aduan seperti di atas dibuat oleh orang-orang 'bilis' tetapi tiada tindakan segera.Setelah campur tangan pihak media barulah pihak yang berkenaan kelam kabut melakukan siasatan.
Kalau keadaan masih boleh dikawal. aku rasa takkan penduduk bersusah payah menghubungi pihak akhbar.Keluhan penduduk telah disiarkan pada 4 November bermakna pihak bertanggung jawab sepatutnya telah membuka mata tetapi hingga kini hanya membutakan mata.(Agaknya )
Takkan nak tunggu nyawa melayang baru pihak berkenaan nak datang?
0 comments:
Post a Comment